FMT Reporters
PETALING JAYA: Pusat beli-belah Mid Valley Megamall ditutup hari ini untuk penilaian kerosakan susulan kebakaran pagi tadi.
Pihak pengurusannya berkata, kebakaran di pencawang luar Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sudah dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Demi keselamatan semua pihak, katanya, bekalan elektrik berdepan gangguan sementara sehingga pihak berkuasa membenarkan ia diaktifkan semula.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin menegaskan keselamatan pengunjung tetap menjadi keutamaan kami,” katanya di Facebook.
Ia mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan penyewa atas kerjasama mereka, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis serta TNB yang bertindak pantas.
Terdahulu, TNB berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca kebakaran dan bekalan giat dipulihkan selepas pencawang masuk utama (PMU) pusat beli-belah itu terbakar pada 10:27 pagi tadi.
“Kebakaran menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.
“TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat mendapat bekalan seawal 10.55 pagi. TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan,” menurut TNB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan