Malaysiakini
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui bahawa bahawa dia membawa ‘amanah orang’ untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa pertemuan mereka Jumaat lalu.
Bagaimanapun laporan Utusan Malaysia tidak menghuraikan tentang ‘amanah orang’ itu dan sekadar memetik anak bekas mursyidul am PAS berkenaan sebagai berkata ia hanya perjumpaan biasa dan tidak mempunyai hubung kait dengan politik.
“Semasa menjadi ahli Parlimen saya selalu selalu jumpa dengan beliau (Anwar) di Dewan Rakyat. Namun sejak beliau menjadi perdana menteri saya tidak lagi bertemu dengan beliau.
“Saya bertemu dengan beliau dengan Anwar selepas selesai menunaikan solat Maghrib.
“Pada pertemuan itu, saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri dapat jalankan tugas dengan baik sebagai perdana menteri,” katanya.
Pertemuan yang dikatakan berlangsung di sebuah hotel di Kota Baru, Kelantan, Jumaat lalu, menjadi tular apabila gambar perjumpaan tersebut dimuat naikkan oleh pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin di Facebook.
Beberapa keping gambar pertemuan antara perdana menteri ditemani isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Nik Abduh bersama abangnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz kemudiannya mencetuskan pelbagai tanda tanya.
Pada Sabtu lalu, Wan Ji memberitahu Malaysiakini dia diminta oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk bertindak sebagai orang tengah dan mengatur pertemuan antara Nik Abduh dan Anwar.
Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, hasrat bertemu Anwar dinyatakan melalui seorang kenalan sebelum Ramadan namun tidak dapat direalisasikan kerana jadual perdana menteri yang terlalu ketat.
Menurutnya, peluang tersebut muncul apabila Anwar melawat Kelantan untuk merasmikan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Jumaat lalu.
Mengulas mengenai pertemuan dengan abangnya, semasa berjumpa Anwar, Nik Abduh menyifatkan perjumpaan tersebut secara kebetulan.
“Dia (Nik Omar) datang nak jumpa perdana menteri. Saya sudah menjangkakan gambar pertemuan itu akan tular kerana ramai yang mengambilnya,” katanya.
Pertemuan itu mencetuskan tanda tanya di kalangan pemerhati politik kerana umum mengetahui kedua-dua beradik itu saling bermusuhan dalam politik.
Nik Abduh pada masa ini merupakan ahli jawatankuasa PAS pusat. Bagaimanapun dia digugurkan oleh PAS sebagai calon parti itu pada PRU lalu.
Hubungannya dengan Nik Omar diketahui renggang selepas abangnya itu membuat keputusan menyertai Amanah kerana tidak bersetuju dengan pendirian PAS pada 2018 untuk bekerjasama dengan Umno.
Pada tahun yang sama, Nik Omar membuat keputusan menyertai Amanah, yang merupakan sebuah parti serpihan PAS.
Pada PRU14, Nik Omar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka atas tiket PKR, tetapi tewas pada PRU berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan