Nora Mahpar
PETALING JAYA: Penganalisis berkata jika sebelum ini Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin dilihat gandingan utama dalam politik pro-Melayu, keadan itu dijangka boleh berubah apabila Hadi mendukung Proklamasi Orang Melayu yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad.
Ariff Aizuddin Azlan dari UITM percaya pakatan presiden PAS dan bekas perdana menteri itu berpotensi mencipta “naratif baharu”.
“Sebelum proklamasi dijalankan, memang Muhyiddin dilihat watak dominan (dalam isu Melayu), tetapi saya kira akan terbentuk naratif baharu apabila Hadi mula mendekati Mahathir,” katanya kepada FMT.
Meskipun Perikatan Nasional gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya lalu, Ariff berkata sentimen pro-Melayu masih tebal dalam kalangan pengundi Melayu dan percaya proklamasi itu akan menguatkan lagi sentimen itu.
Pada pilihan raya sama, Mahathir gagal mempertahankan Parlimen Langkawi apabila tewas di tangan calon PN. Secara keseluruhan, PN menang 74 kerusi, yang mana 43 kawasan milik PAS dan 31 ditawan Bersatu.
“Memang benar Mahathir kalah dalam PRU15 bagaimanapun kita perlu lihat naratif baharu ini kerana melibatkan presiden PAS,” kata Ariff.
Meskipun Muhyiddin merestui beberapa pemimpin Bersatu menyokong proklamasi tersebut, Ariff perkara gandingan Hadi dan Mahathir akan “sedikit sebanyak memberi kesan” terhadap keupayaan Muhyiddin membawa isu Melayu.
Di sebalik perasaan tidak suka segelintir pihak terhadap cara Mahathir, Ariff percaya penglibatan Hadi akan mendorong kelompok itu untuk “cuba memahami” inisiatif itu, katanya.
Sementara itu, Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Muhyiddin ketika ini kelihatan “tak berapa berbisa” berbanding ketika PRU15.
Beliau meramalkan peluang PAS akan lebih baik pada PRN di enam negeri kelak, dan percaya proklamasi oleh Mahathir itu akan memberi kesan kepada penyokong politik pro-Melayu.
“Sebenarnya isu Melayu ini dah berzaman tetapi inilah ‘ganja’ bila nak masuk pilihan raya, kerana orang Melayu ini suka diingat-ingatkan tentang ‘ekonomi teruk, sosial teruk’,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan