‘Tawaran’ sertai kerajaan: PAS tuding jari pada Kit Siang

Malaysiakini 

Susulan penafian pemimpin kerajaan berhubung tawaran menyertai kerajaan, PAS hari ini menuding jari kepada veteran DAP Lim Kit Siang.

“Hakikatnya penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput PAS menyertai kerajaan perpaduan kerana kedudukan kerajaan amat genting ketika ini dan Umno tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu,” kata Khairil Nizam Khirudin. 

Ketua penerangan PAS itu juga menyifatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “tidak buat kerja rumah”selepas menyindir Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya “tidak perasan”.

“Zahid perlu berhenti dari menipu dan terus menipu ahli Umno mahupun rakyat. 

“Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli Umno itu sejak sekian lama,” kata Khairil Nizam.

Dia bagaimanapun tidak menamakan siapa yang menemui Hadi untuk menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan, walaupun terdapat desakan supaya pihak itu didedahkan.

Lim bagaimanapun semalam berkata apa yang diutarakannya hanya idea peribadi dan bukan cadangan DAP atau kerajaan.

Malah, katanya, dia tidak berbincang perkara itu dengan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke atau mana-mana pemimpin DAP, apatah lagi dengan pemimpin kerajaan.

Lim berkata, walaupun dia menyokong PAS menyertai kerajaan, parti itu perlu menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru ke arah kestabilan politik dan perpaduan nasional.

Dia juga menuntut Hadi menarik semula dan memohon maaf atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan DAP selama ini.

Hadi kelmarin mendakwa dia beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Mungkin hanya tawaran ketua ranting - Anwar

Selain Zahid, Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata dia atau mana-mana pimpinan kerajaan tidak pernah membuat tawaran itu.

“Saya tidak dimaklumkan sama sekali. Saya tidak tahu siapa ketua ranting yang sampaikankah… saya tidak tahu.

“Ia bukan daripada saya bukan juga daripada pimpinan kerajaan.

“Itu tanya dialah, mungkin daripada ketua rantingkah saya tidak tahu, tapi tidak pernah sampai dan tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan yang saya tanya dalam PH atau BN,” Anwar dipetik sebagai berkata oleh Utusan hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan