Warga Pakistan ditahan, rogol wanita OKU

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lelaki warga Pakistan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku tengah hari kelmarin.

"Sekitar jam 1 tengah hari, mangsa yang berusia 30 tahun dan mengalami masalah ketidakupayaan intelektual berseorangan berjalan ke kedai makan di Jalan Padang Tembak, di sini.

"Suspek kemudian mengajak mangsa ke tingkat atas sebuah rumah kedai dan merogol mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut manakala pihak kami segera mengesan suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya menangkap lelaki Pakistan itu di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang berusia 42 tahun adalah negatif.

"Suspek juga tiada rekod kesalahan lampau dan dia ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan