Awas!! 'Gadis ayu' bawa bala!

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guna gambar profil 'gadis ayu' dan ayat-ayat manis di media sosial atau aplikasi perhubungan seperti WhatApps, Telegram dan Messenger menjadi taktik terbaharu sindiket Love Scam untuk menjerat lelaki hingga kerugian jutaan ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Love Scam adalah taktik jenayah yang memerangkap mangsa melalui permainan emosi dan perasaan.

"Taktik 'gadis ayu' atau penggunaan gambar profil wanita cantik ini adalah taktik baharu yang digunakan oleh sindiket untuk mencari mangsa.

"Tujuan gambar ini digunakan adalah untuk menarik perhatian dan seterusnya memperdaya mangsa untuk berkomunikasi dengan pihak sindiket," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa seterusnya ditawarkan hadiah, pekerjaan, diajak berjumpa dan sebagainya.

"Namun kemudiannya sindiket akan menyatakan ada beberapa masalah yang memerlukan mangsa untuk membuat pindahan wang.

"Mangsa hanya akan menyedari ditipu apabila terus menerus diminta untuk membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan oleh pihak sindiket," katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,185 kes Love Scam direkodkan bagi tempoh tahun lalu hingga Mei tahun ini dengan jumlah kerugian RM74,267,226.

"Sebanyak 793 kes direkodkan tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM56,276,293.56 manakala tahun ini daripada Januari hingga Mei lalu merekodkan 392 kes dengan nilai kerugian RM17,990,932.65," katanya.

Ramli berkata, polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran hadiah daripada media sosial mahupun aplikasi dalam talian.

"Dalam usaha untuk membantu mengurangkan kes berkaitan penipuan, masyarakat digalakkan untuk sentiasa cakna dengan maklumat pencegahan jenayah komersial yang sentiasa disampaikan oleh polis dari semasa ke semasa melalui pelbagai medium penyampaian seperti kempen, media sosial, ceramah dan seumpamanya.

"Masyarakat juga digesa untuk menyebarkan maklumat diperoleh agar dapat disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat sekali gus memastikan impak yang lebih besar dapat dihasilkan," katanya.

RM40,000 melayang nak dapat hadiah daripada Suzanne

Kuala Lumpur: "Saya ketika itu baru putus cinta dan tidak lama kemudian menerima permohonan menjadi rakan di Facebook (FB) daripada seorang wanita yang kononnya menetap di London," kata mangsa penipuan 'gadis ayu' yang hanya ingin dikenali sebagai Azmi, 35.

Menurutnya, ketika itu perasaannya agak runsing selepas hubungan cinta terjalin terputus di tengah jalan sebelum tiba-tiba menerima kenalan baharu di FB yang menggunakan profil nama Suzanne.

"Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa tambahan dia menggunakan profil gambar wanita 'mat salih' yang agak cantik dan ingin berkenalan dengan saya.

"Kami pada mulanya berbual melalui Mesengger sebelum bertukar nombor telefon dan mula berhubung dengan WhatApps," katanya.

Azmi berkata, selepas beberapa bulan berhubung, dia mula tertarik dan Suzanne memberitahu ada menghantar hadiah kepadanya sebagai ikatan perkenalan mereka.

"Saya kemudian menunggu hadiah yang dikirimkan itu, namun dia memberi alasan ada masalah dan saya perlu membayar sejumlah wang supaya ia segera dapat dihantar.

"Saya yang tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya memindahkan beberapa kali wang ke akaun yang diberikan itu, namun dia memberitahu masih tidak dapat menyerahkan hadiah itu yang kononnya tersangkut di kastam," katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata, dia diminta sekali lagi memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikan oleh Suzanne, namun mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

"Selepas saya enggan memberikan wang itu, dia terus menamatkan hubungan kami dan saya gagal menghubunginya apabila talian telefon itu ditamatkan.

"Akibat kejadian itu saya rugi hampir RM40,000 apabila wang simpanan habis diberikan kepadanya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan