Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki mengaku salah membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata lelaki warga asing berusia 30 tahun itu membuat pengakuan itu susulan didakwa pada Khamis.

“Suspek direman selama 13 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan mendapat arahan tuduh pada Khamis (kelmarin). Suspek mengaku membunuh teman wanitanya,” katanya menurut Harian Metro.

Pada 9 Jun, dilaporkan seorang lelaki warga India dipercayai menikam teman wanitanya sehingga 18 kali menggunakan pisau pemotong buah.

Tindakan suspek terbongkar selepas ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan dipercayai untuk membunuh diri.

Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan