KJ jumpa Muhyiddin, surat tawaran palsu PKR beredar

Malaysiakini

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin bertemu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini.

Pertemuan itu berlangsung di tengah teka-teki berkaitan landasan politik barunya setelah dipecat daripada Umno awal tahun ini.

Setakat ini butiran lanjut perbincangan antara Khairy dan Muhyidddin belum diketahui.

Bersatu telah menawarkan jawatan pusat kepada Khairy dan PN mempunyai rancangan penting untuknya sempena pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Sementara itu, turut tersebar surat palsu berkaitan tawaran PKR kepada Khairy selepas dia menjadi salah seorang yang dipanggil dalam mesyuarat membincangkan hal ehwal ekonomi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Surat bertarikh hari ini itu dikatakan ditandangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang menawarkan keanggotaan parti dan jawatan timbalan presiden lantikan–jawatan yang tidak pernah wujud dalam parti itu.

“Jenis tulisan (surat itu) pun salah,” kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil ringkas kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Khairy dipecat awal tahun ini dalam proses pembersihan Umno terhadap kumpulan yang kritikal terhadap Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy berkata dia mendapat banyak tawaran dari pelbagai parti tetapi belum membuat sebarang keputusan.

Bekas anggota parlimen Rembau itu malah berseloroh untuk menubuhkan parti sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan