KJ: Tiada masalah Rafizi tak hadir mesyuarat ekonomi, berkait perjumpaan dengan PM

Yasmin Abdul Latif dan Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Ketiadaan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam perbincangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan beberapa pakar ekonomi dan industri pada Jumaat lalu tidak seharusnya diperbesarkan, kata Khairy Jamaluddin yang turut dijemput hadir.

Bekas menteri kesihatan itu berkata tiada masalah jika Rafizi tidak hadir kerana segala pandangan pada akhirnya akan dirujuk semula di peringkat kabinet.

“Menteri ekonomi tidak hadir pun tidak apa sebab akhirnya mereka akan bertukar pandangan di peringkat mesyuarat jemaah menteri atau pun di majlis tindakan ekonomi,” katanya di dalam Podcast Keluar Sekejap.

Sebelum ini, pengguna media sosial menimbulkan tanda tanya berhubung ketidakhadiran Rafizi dalam satu perjumpaan di antara Anwar bersama ahli ekonomi dan pakar industri bagi membincangkan hala tuju negara.

Turut hadir dalam perbincangan itu adalah Naib Presiden Umno Johari Ghani dan Khairy.

Perbincangan itu turut melibatkan ahli ekonomi lain seperti Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan