Malaysiakini
Dakwaan seorang ahli parlimen PN bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya mengutamakan program bertemu mahasiswa di universiti dan tidak memberi tumpuan keadaan ekonomi negara disifatkan sebagai tuduhan selektif dan berniat jahat.
Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing menganggap dakwaan itu sengaja dibuat untuk menggambarkan Anwar tidak membangunkan ekonomi dan hanya mahu menarik sokongan belia bagi PRN di enam negeri yang akan diadakan.
"Tetapi hakikatnya, perdana menteri telah memperkenalkan tiga tonggak utama dalam usaha meningkatkan pasaran modal bagi pertumbuhan ekonomi, menggalakkan simpanan dan kemasukan pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan merujuk ucapan Anwar pada 19 Jun lalu yang menggariskan tiga perkara tersebut, termasuk meluaskan pelaburan mampu milik dengan pengurangan duti setem saham, menarik kumpulan pelabur untuk menyokong pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) serta pembaharuan struktur untuk pasaran modal dan transformasi ekonomi.
Semalam, Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh (gambar) dilaporkan menggesa Anwar agar menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara berbanding membuat lawatan ke kampus untuk bertemu pelajar.
Che Mohamad yang mewakili PAS itu berkata sesi perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti boleh dilihat sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Tan mempersoalkan jika Che Mohamad Zulkifly tidak mengikuti perkembangan atau hanya membaca berita secara selektif.
"Jika perdana menteri jarang bertemu dengan mahasiswa, (ahli Parlimen) Besut jugalah yang akan menuduh atas alasan kerajaan tidak peduli belia, kerana fokus dan strategi PN adalah menimbulkan kebencian dan kemarahan dalam kalangan rakyat supaya PN dapat menang dalam PRN,” katanya lagi.
Mengulas isu pembangkang tidak terima peruntukan kerajaan, Tan berpandangan PN sengaja memainkan watak sebagai mangsa supaya kerajaan boleh digambarkan sebagai kerajaan yang zalim.
"Isu ini telah berulang-kali dibangkit dan dibicarakan dalam Dewan Rakyat, dan pendirian kerajaan jelas iaitu pembangkang perlu berunding dengan kerajaan.
"Tetapi PN masih menolak cadangan tersebut supaya mereka boleh terus memainkan watak mangsa di luar dewan bagi menimbulkan perasaan simpati dalam kalangan penyokong,” dakwanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan