Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Sifat “tidak setia” pengundi muda membuka peluang kepada semua parti mendapatkan sokongan kelompok itu pada PRN, menurut seorang ahli akademik yang turut mengetuai bahagian penyelidikan sebuah badan pemikir.
Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu Mohd Yusri Ibrahim berkata, tinjauan kali selidik pasca PRU15 sehingga Mac lalu dijalankan bersama Ilham Centre mendapati pengundi muda yang majoritinya memilih Perikatan Nasional (PN) dilihat cenderung membuat keputusan lain.
“(Pada) PRU15, pengundi muda khususnya segmen Melayu Islam mengundi PN. Namun undi tersebut bersifat semasa dan bukan setia.
“Ada juga yang hendak ‘kalih’ ke Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam wacana santai untuk mengupas dapatan awal menjelang PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Menjelang PRN nanti, kumpulan ini masih terbuka untuk menyokong mana-mana parti, bahkan dapatan menunjukkan sebahagian yang mengundi PN dalam PRU lepas telah menyatakan kesediaan untuk mengundi PH.
“Maksudnya sokongan mereka sangat dinamik dan boleh berubah-ubah mengikut situasi,” kata Yusri.
Sementara itu, Yusri yang juga ketua penyelidik Ilham Centre berkata, Umno perlu memberikan penerangan jelas kepada ahlinya berhubung rasional kerjasama dengan PH sebelum memasuki medan PRN.
Katanya, ini kerana keputusan Umno menyertai kerajaan perpaduan bersama PH-DAP pada peringkat awal tidak dijelaskan secara baik kepada akar umbi.
“Sedangkan sebelum ini pemimpin Umno sendiri yang ‘momokkan’ DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan