FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis memburu suspek yang membuat ugutan terhadap ketua polis Pulau Pinang, termasuk mahu membakar kedai dan balai jika terus aktif memerangi sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen.
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung ancaman itu yang terkandung dalam surat layang dialamatkan kepada ketua polis negeri di IPK Pulau Pulang.
“Pemeriksaan awal terhadap sampul surat dikirim mendapati terdapat enam keping replika wang kertas ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran agar pihak IPK Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen di negeri terbabit.
“Selain itu, turut dinyatakan melalui surat layang tersebut nota berunsur ugutan jenayah terhadap ketua polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), JSJ Komersial dan JSJ Narkotik giat mengesan suspek terlibat, diketuai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut.
Acryl berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.
“Polis tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak cuba mengugut dan mengancam pegawai polis dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram dan jenayah di negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan