Tajuddin hadir mengejut di PAU 2023, dedah punca kegagalan Umno

Haspaizi Zain, B Nanta Kumar & Geraldine Tong

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Ahmad Maslan adalah punca apa yang disifatkannya sebagai kegagalan Umno pada hari ini.

Dia berkata demikian ketika membuat kehadiran mengejut di Perhimpunan Agung Umno 2023 ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, meskipun keanggotaannya digantung selama enam tahun bermula tahun lalu.

Dia mendakwa Ahmad ketika menjadi setiausaha Agung Umno tidak memberi nasihat yang sewajarnya kepada Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi presiden pada saat parti berada dalam keadaan lemah.

“Dia hanya mendengar segelintir orang di sekelilingnya sahaja. Dia gagal dengar suara akar umbi," katanya kepada pemberita di Riverside Cafe & Restaurant, di WTC Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata inisiatif proklamasi Melayu yang digerakkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bukanlah sesuatu yang baru.

Katanya, dia sudah pun terlebih dahulu mengusahakan himpunan penyatuan orang Melayu pada 2018.

“Saya mengumpulkan semua orang Melayu di Pasir Salak yang berjumlah lebih 50,000 orang.

“Malah, (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang datang ke rumah saya dan berdiri di atas pentas dan memberi ucapan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini di Riverside Cafe & Restaurant di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Namun, Tajuddin berkata Umno dan PAS tidak memelihara perpaduan masyarakat Melayu yang telah digabungkan menerusi Muafakat Nasional (MN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan