Tak puas hati dengan rumah baru, wanita pukul dan ugut bunuh suami guna pisau

WAN SITI AMINAH

Gara-gara tidak berpuas hati dengan rumah baharu yang diduduki, seorang wanita didakwa mendatangkan kecederaan kepada suaminya sendiri.

Suri rumah yang berusia 29 tahun itu juga dikatakan sempat mengugut mahu membunuh suami dengan menggunakan sebilah pisau.

Dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak, wanita itu dikenakan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengugut suaminya.

Sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii pada Khamis lalu, Nor Fazmira Kamaruss mengaku tidak bersalah.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 pagi, 26 Mei lalu, Fazmira didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas suaminya, Haziq Abd Rahim.

Timbalan Pendakwa Raya, Farriz Minarwan Basrudin berkata, Fazmira mulanya bertengkar dengan suaminya yang berusia 29 tahun itu di rumah mereka.

Pergaduhan mulut yang berpunca dari masalah rumah tangga itu kemudian bertukar dingin apabila Fazmira bertindak di luar jangkaan.

“Wanita itu kemudiannya mengacukan pisau kepada suaminya sebelum menumbuk Haziq di bahu kanan selain menendang lutut kaki kanannya.

“Haziq bagaimanapun tidak membalas perbuatan Fazmira yang turut membuat ugutan berunsur jenayah terhadapnya,” katanya.

Dibenarkan untuk diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, mahkamah menentukan Rabu depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Mendatangkan kecederaan, Fazmira berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 323 yang dibacakan bersama dengan 326A Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Fazmira juga boleh dipenjara dua kali ganda panjang dari tempoh maksima pemenjaraan untuk kesalahan di bawah seksyen yang berkaitan.

Turut dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan, Fazmira boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan