Wanita tular 'catwalk' di Kota Bharu burukkan imej Kelantan, Islam

Sinar Harian
Wanita tular 'catwalk' di Kota Bharu burukkan imej Kelantan, Islam
Tindakan wanita itu disifatkan boleh menimbulkan pandangan negatif walaupun niatnya tidak diketahui secara jelas. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Tindakan seorang wanita berpakaian tidak sopan sambil 'catwalk' di tengah-tengah bandar ini bukan sahaja melanggar akhlak Islam, bahkan boleh menimbulkan fitnah terhadap agama dan masyarakat, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Jelas beliau, tindakan individu terbabit memberi gambaran yang boleh menimbulkan pandangan negatif walaupun niatnya tidak diketahui secara jelas.

“Berpakaian tak sopan itu sudah terang-terangan salah dari segi hukum, malah tindakannya pula boleh menimbulkan tuduhan, ini yang dipanggil satu penyebaran fitnah.

“Individu ini juga cuba memburuk-burukkan imej negeri dan agama apabila berpakaian tak senonoh berdekatan dengan al-Quran walaupun sekadar replika di pintu gerbang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai satu rakaman video tular di Facebook yang memaparkan perlakuan seorang wanita berjalan di Taman Hijau dan di hadapan pintu gerbang al-Quran depan Istana Balai Besar dengan berpakaian mencolok mata.

Tindakan wanita itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Mohamad Shukri menasihatkan umat Islam supaya mempunyai pendirian yang teguh dalam berpegang kepada ajaran agama.

“Jangan lagi dijajah dari segi pemikiran atau perasaan, sebaliknya perlu dominan dalam kehidupan ini dan tidak membiarkan pengaruh luar mendominasi kehidupan.

“Hukuman adalah langkah terakhir sebaliknya paling penting usaha dakwah dan pendidikan semua pihak yang mesti diteruskan bagi membendung perkara sebegini,” ujarnya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan