Mohsin Abdullah
Berikutan dakwaan oleh Tiong King Sing, si menteri pelancongan, seni dan budaya, bahawa ada rasuah membabitkan pihak imigresen di KLIA, beberapa hari lalu timbul dua laporan yang pada hemat saya menarik.
Laporan pertama disiar oleh Utusan Malaysia pada 8 Julai. Menurut laporan itu siasatan SPRM tidak menemukan sebarang elemen rasuah dalam kes dua wanita China tidak dibenarkan memasuki negara ini sehingga menimbulkan kekecohan di KLIA pada 29 Jun lalu.
Kemudian laporan kedua pada hari yang sama. Ketua Pesuruhjaya Azam Baki dipetik berkata terlalu awal untuk membuat kesimpulan tiada rasuah dalam insiden KLIA itu. Kata beliau lagi, siasatan baru masuk hari keenam (waktu beliau membuat penafian) “dan tidak munasabah untuk menyelesaikannya dalam tempoh tersebut”. Ertinya kita mesti tunggu siasatan selesai. Jangan ada prejudis dan jangan buat kesimpulan setakat ini.
Sebelum itu atau lebih tepat 4 Julai 2023, wartawan veteran A Kadir Jasin menulis di Facebook berjudul “Melayu layu kerana rasuah”. Perlu dinyatakan beliau menulis secara am walaupun ada menyentuh sedikit tuduhan Tiong. Kadir juga pada pandangan saya turut ‘menyindir’ pertubuhan perniagaan yang dimonopoli orang Cina, yang berpusu-pusu menyokong Tiong walhal katanya “yang banyak menggunakan rasuah sebagai modal adalah golongan peniaga”. Adakah betul anggapan saya itu satu ‘sindiran’ atau salah anggap?
Apa pun bukan itu isunya di sini. Yang saya setuju ialah apabila Kadir berkata maruah orang Melayu rosak, martabat jatuh, dan integriti dicurigai apabila sebahagian terlibat dengan rasuah “ibarat beberapa ekor kerbau bawa lumpur habis satu kandang terpalit,” katanya.
Kata Kadir, persepsi orang Melayu rasuah begitu meluas dan menular “lagi-lagilah apabila sudah dibuktikan berulang kali orang Melayu berkedudukan tinggi disiasat, didakwa ada kes prima facie,didapati bersalah dan dihukum kerana rasuah”.
Kata beliau lagi oleh sebab memang ada orang Melayu yang rasuah maka apabila “berlaku serangan seperti yang dilakukan oleh Tiong maka susah bagi orang Melayu mempertahankan kakitangan awam tanpa ragu-ragu.” Benar.
Berbalik soal persepsi orang Melayu rasuah begitu meluas dan menular yang disebut tadi. Kata Kadir, ini juga kerana serendah-rendah orang Melayu dia sedikit sebanyak ada kuasa kerana bekerja sebagai ketua kerani pejapatan, kastam, imigresen, maritim, dan inspektor kesihatan. Semua pekerjaaan ini dan banyak lagi kata beliau ada “power”. Ringkasnya kakitangan awam yang ada kuasa.
Saya juga mahu bercakap mengenai kakitangan awam – yang ada power, yang ada sikit power, malah yang tidak ada power. Saya bercakap bukan pada aspek rasuah. Yang ingin saya katakan ialah mengenai tugas dan tanggungjawab kakitangan awam keseluruhannya. Maksud saya menjalankan tugas, memikul tanggungjawab dengan cekap dan bagus, serta beramanah. Lakukan demi bangsa sendiri. Kakitangan kerajaan majoriti orang Melayu. Overwhelming Malay. Lantas jika atau apabila mereka tidak cekap, tidak efficient, tidak bagus, bangsa Melayu lah yang dituduh tidak cekap, tidak cerdik, tidak rajin, dan bermacam tuduhan yang tidak sedap didengar, yang menyayat dan menyakiti hati.
Ini kita sudah sering dengar dilemparkan. Seluruh bangsa Melayu terpalit akibat kakitangan yang tidak menjalankan tugas dengan bagus. Kalau ada pun tuduhan ke atas kakitangan awam secara khusus ia kerap disusuli dengan kata-kata “orang Melayu memang macam tu”.
Benar ada kakitangan awam yang rajin dan bekerja keras tetapi tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan mereka yang malas, kaki ponteng, tidak menjalankan tugas dengan jujur dan baik, bengis dan sombong terhadap orang awam yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan serta pelbagai elemen negatif. Lazimnya perkara negatif lah yang selalu tidak dilupa orang. Lalu semua perkara tidak baik itu dikaitkan dengan amalan orang Melayu. Hilang kredibiliti dan kewibawaan orang Melayu.
Oleh itu kakitangan awam wajib jalankan tugas dan amanah dengan hebat. Lakukan yang paling baik. Saya sedar ada frustration dalam perkhidmatan awam terutama soal naik pangkat. Ada kakitangan yang pandai main wayang dan kaki ampu mendapat ganjaran meskipun malas. Mereka bijak sembunyi keburukan diri manakala kakitangan yang dedikasi terabai kerana tidak pandai menonjol diri. Ini masalah besar yang kita harap dapat diatasi. Diakui this is easier said than done.
Namun kakitangan awam mesti tampil dengan prestasi cemerlang kerana diatas bahu mereka terletak maruah bangsa. Mereka mewakili Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan