Bahana kelentong suami

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Bimbang emas digadai untuk membayar 'scammer' diketahui suami menyebabkan seorang tukang cuci sanggup membuat laporan palsu konon diperas ugut RM25,000 oleh individu menyamar polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita warga Indonesia berusia 53 tahun itu membuat laporan polis palsu pada 22 Jun lalu.

Menurutnya, wanita itu mendakwa kononnya didatangi pasangan memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta kad pengenalannya ketika berada di Bandar Baru Ampang di sini.

"Anggota `polis' itu kemudian menuduh wanita itu terbabit kes jenayah dan meminta wang tunai RM25,000 untuk dilepaskan.

"Susulan itu pada jam 6 petang Rabu lalu, polis menahan wanita terbabit di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kerana disyaki membuat laporan palsu.

"Pihak polis merampas tiga keping resit bank bertarikh 20 Jun lalu," katanya semalam.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala ujian air kencing adalah negatif dadah.

"Soal siasat mendapati dia membuat laporan palsu adalah kerana enggan berterus terang dengan suami berkaitan emas yang digadaikannya untuk pembayaran kepada pihak disyaki `scammer'.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384/170/182 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan pemerasan / menyamar penjawat awam dan memalsukan keterangan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan