Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penggunaan isu 3R (kaum, agama, raja) oleh orang politik untuk meraih undi perlu dihentikan sebelum memuncak ke tahap yang amat berbahaya.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata, ia terutama dalam keadaan politik semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila pengundi Melayu dikatakan adalah pembuat keputusan atau 'king maker'.
Beliau berkata, sebarang usaha menarik hati pengundi Melayu menggunakan isu 3R akan menyebabkan masyarakat di negara ini terbelah kepada dua kumpulan besar.
"Ia (mainan isu 3R) akan membentuk kumpulan pengundi Melayu 'versus' pengundi bukan Melayu atau pengundi beragama Islam versus pengundi bukan Islam.
"Masalahnya perbezaan ideologi politik dalam konteks sebenarnya itu tak ada. Tetapi yang berlaku perbezaan dalam isu 3R.
"Ini amat merbahaya sekali kalau kita lihat bentuk masyarakat kita pada ketika ini.
"Memang ketika ini pihak kerajaan dan pihak pembangkang menggunakan isu ini. Ia berlaku sejak tiga atau empat dekad lalu dan sudah sampai ia dihentikan," katanya.
Beliau berkata, suasana apa yang dilihat hari ini adalah hasil yang bermula penggunaan isu 3R dalam meraih undi manfaat politik dan kesannya berlanjutan.
"Kita lihat kesannya begitu negatif sekali. Kalau tak dibendung daripada sekarang ia akan menjadi lebih teruk sekali.
"Sebab itu kerajaan dikatakan akan mengambil tindakan tegas. Kerajaan boleh sahaja menggunakan juga isu itu tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab sewajarnyalah melihat ia tidak memberi manfaat.
"Saya tidak menyalahkan orang ramai tetapi saya menyalahkan orang politik yang menggunakan isu 3R ini untuk meraih manfaat atau pun meraih undi dalam pilihan raya," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R terutama ketika menghadapi PRN.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana individu tanpa mengira pangkat, kaum, atau agama yang sengaja mencetuskan isu itu hingga membawa suasana tidak harmoni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan