'Bekas ADUN dipercayai kahwin sejenis bukan lagi mewakili DAP'

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Kerajaan Perpaduan tidak sesekali menyokong serta mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Sehubungan itu itu, tindakan pihak yang menggunakan isu perkahwinan sejenis dipercayai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Balik Pulau yang tular di media sosial kononnya disokong kerajaan adalah tidak berasas.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng, berkata beliau sedar bahawa ada pihak yang sedang menggunakan isu itu sebagai modal politik yang ia patut dihentikan.

"Untuk makluman, bekas ADUN itu difahamkan berada di Amerika Syarikat (AS) selepas lama meninggalkan Malaysia yang beliau tidak lagi mewakili DAP selepas berundur dari politik.

"Kita juga tidak mengetahui apa-apa (perkara peribadi) yang dilakukan dia (bekas ADUN terbabit) selepas pergi ke negara itu.

"Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan sekarang juga tidak menyokong LGBT dan janganlah guna isu ini sebagai modal politik," katanya ketika diminta mengulas berhubung perkahwinan sejenis membabitkan dua wanita yang didakwa berlaku di sebuah premis di Balik Pulau, baru-baru ini.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Rapat Umum Wanita Bangkit di Tapak Ekspo Seberang Jaya, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini hari ini.

Eng yang juga Ketua Wanita DAP berkata, kerajaan negeri komited dalam memperkasakan agenda wanita terutamanya dalam menjaga maruah wanita, menghapuskan keganasan terhadap wanita, menghentikan gangguan seksual dan perkahwinan di bawah umur.

"Kita akan terus membawa agenda wanita ini selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) menerajui Pulau Pinang untuk penggal seterusnya apabila menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak," katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial perkahwinan sejenis memaparkan dua wanita membabitkan warga tempatan dan luar negara bercumbu di sebuah premis inap desa persendirian di Balik Pulau.

Menerusi hantaran tular itu, perkahwinan terbabit dikatakan berlangsung bulan lalu dan dihadiri ahli keluarga serta teman rapat.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Tegasnya, tindakan akan diambil mengikut undang-undang berikutan negara ini melarang LGBT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan