B Nantha Kumar
BN dikatakan menghormati pendirian MCA dan MIC - dua parti komponennya - untuk tidak turun berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang di enam negeri.
Keputusan itu diambil dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut satu sumber yang menghadiri mesyuarat tersebut, pucuk pimpinan BN bersetuju dengan penjelasan MCA dan MIC itu.
"Dalam mesyuarat, MCA dan MIC menjelaskan sebab-sebab kedua-dua parti itu tidak akan turun berkempen untuk calon-calon PH pada PRN.
"Selepas, mendengar penjelasan, majlis tertinggi BN setuju dengan pendirian kedua-dua parti itu," katanya.
Namun, katanya, Umno mengambil keputusan akan turun berkempen bagi calon PH.
Sebelum ini dilaporkan MCA dan MIC mengambil keputusan tidak akan berkempen bagi calon PH, setelah kedua-dua parti itu dikatakan tidak dilayan secara adil dalam isu rundingan kerusi.
Bagaimanapun, pucuk pimpinan MCA dan MIC tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan itu.
Sementara itu, sumber sama bagaimanapun berkata, MCA dan MIC akan turun membantu calon Umno dalam PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.
Sumber turut mengesahkan bahawa mesyuarat semalam tidak membincang mengenai keputusan MCA dan MIC tidak bertanding dalam PRN.
"Tidak ada perbincangan. Pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi) berkata bahawa Umno mengambil maklum perkara tersebut dan menghormati keputusan tersebut.
"Namun, pemimpin MCA dan MIC berjanji akan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan diketuai oleh Anwar Ibrahim di peringkat pusat," katanya.
Pada 5 Julai, MCA dan MIC membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan