Malaysiakini
Seorang ahli Dewan Diraja Selangor berkata sultan di negeri itu berhak melantik sesiapa saja yang dirasakan wajar untuk menjadi menteri besar.
Justeru menurut Emran Abdul Kadir dia berpendapat Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor sebagai menghina institusi diraja Selangor apabila mempertikaikan pelantikan dibuat baginda.
Ditemui media di Shah Alam hari ini, Emran berkata kenyataan Sanusi itu dibuat kononnya pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor oleh sultan sebagai tidak wajar.
“Kenyataan beliau (Sanusi) kita anggap sebagai menghina institusi raja di Selangor kononnya pelantikan Dato’ Menteri Besar (Amirudin) itu seolah-olah tidak wajar.
“Tuanku boleh melantik sesiapa sahaja untuk jadi Datuk Menteri Besar asalkan pemimpin berkenaan daripada pemenang undi yang paling banyak, itu (termaktub) dalam perlembagaan.
“Jadi, Tuanku telah melantik tepat sepertimana menteri besar sekarang seorang pemimpin yang dapat majoriti di Dewan Negeri Selangor, tidak patut dipersoal,” katanya dipetik akhar rasmi kerajaan negeri, Selangorkini hari ini.
Terdahulu Emran bersama beberapa ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam bagi membolehkan Sanusi disiasat serta diambil tindakan.
Ia berkaitan ucapan Sanusi dalam ceramah politiknya yang membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah dan Selangor. Ia berlangsung di Selayang pada 11 Julai lalu.
Sudah tersebar luas
Antara lain menteri besar sementara Kedah itu berkata: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia (lekeh) macam Amir(udin).
Terdahulu seorang lagi ahli Dewan Diraja Selangor Mohamad Adzib Mohd Isa membuat laporan polis dan meminta agar tindakan dikenakan ke atas Sanusi.
Selain Polis Diraja Malaysia Mohamad Adzib juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah ke atas akaun media sosial ahli politik terbabit.
Turut hadir beberapa anggota Dewan Diraja Selangor termasuk bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh.
Emran berkata Dewan Diraja Selangor menuntut agar Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menghina institusi diraja negeri berkenaan.
Katanya permohonan maaf itu perlu dibuat segera kerana isu tersebut sudah tular.
“Kami minta beliau (Sanusi) memohon maaf secara terbuka secepat mungkin kerana perkara ini sudah tersebar luas.
“Kami buat laporan untuk membolehkan polis jalankan siasatan dan ambil pendekatan sewajarnya ke atas kenyataan itu,” katanya yang juga Orang Besar Daerah Petaling.
Dewan Diraja Selangor dianggotai 23 ahli dengan dipengerusikan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan