Dibuang di belakang rumah, polis selamat bayi dihurung semut

FMT Reporters

PETALING JAYA: Satu bayi dibuang ibunya hingga dihurung semut berjaya diselamatkan polis selepas ditemukan di belakang sebuah rumah di Taiping, semalam.

Ketua Polis Taiping Razlam Ab Hamid, berkata penemuan bayi itu susulan laporan diterima dari pegawai perubatan Hospital Taiping berhubung seorang wanita disyaki telah melahirkan anak dengan dipercayai bertindak membuangnya kerana niat mahu menyembunyikan kelahiran.

Beliau berkata, hasil siasatan dan tindakan pantas pihaknya, mereka kemudiannya berjaya menemukan seorang bayi yang masih bernyawa dengan ditutupi kain dan tuala, selain dihurung semut di belakang rumah wanita berusia 22 tahun itu.

“Bayi tersebut telah dikejarkan ke Hospital Taiping dengan ambulans dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (Nicu) Hospital Taiping dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya menurut Bernama.

Razlam berkata, ekoran insiden itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Razlam berkata, hasil siasatan mendapati wanita itu belum berkahwin dan bekerja sebagai jurujual, dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan