Firdaus Wong dedah kes PU Azman kerana takut kepada azab Allah

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Fung, 40, tidak bersetuju dengan keterangan mendakwanya dirinya seorang yang berani, malah mengaku dia sebenarnya penakut ketika membuat hujahan prosiding kes perbicaraan amang seksual membabitkan Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, hari ini.

Saksi ke-10 itu memberi respons terhadap soalan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly susulan keterangan saksi kelapan, Isfadiah Mohd Dasuki, 52, semalam, yang menyatakan dia meminta bantuan Firdaus memandangkan pendakwah itu berani tampil ke depan.

Firdaus sebaliknya berkata, dia hanya menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu mereka yang memerlukan dan lebih takut dengan azab Allah sekiranya tidak membantu meskipun sedar akan dikecam.

"Saya sebenarnya takut kalau di akhirat nanti Allah tanya bila orang datang minta bantuan selepas dizalimi dan saya kelebihan untuk membantu mereka, saya tak bantu mereka.

"Maka saya memaksa diri membuat apa yang termampu walaupun saya tahu akan dikecam, dihina dan dicaci maki. Tetapi ketakutan kepada Allah dan azab-Nya membuat saya boleh hadapi caci maki itu... saya sebenarnya seorang penakut, bukan berani," katanya.

Ditanya mengenai peranannya di dalam kes berkenaan, Firdaus berkata, dia menjadi pemudah cara kepada mangsa, namun tidak pernah memaksa atau mengajar mangsa membuat laporan polis.

"Pemudah cara dan untuk menenangkan mangsa terbabit kerana hampir semua kes yang kami kendalikan terutama bila membabitkan orang terkenal, mangsa akan alami ketakutan, trauma dan anxiety (kemurungan).

"Tugas saya beri kefahaman yang mereka tidak akan disaman oleh pihak yang dilaporkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa melainkan mempunyai ramai kenalan peguam yang boleh memberi nasihat.

Sementara itu Firdaus memaklumkan, beliau mengenali PU Azman sebagai bekas peserta realiti dakwah dan terbabit dalam industri lakonan malah pernah berkomunikasi melalui WhatsApp.

Prosiding hari keempat pada hari ini bersambung pada sebelah petang dan diadakan secara tertutup kerana difahamkan salah seorang mangsa akan memberi keterangan.

PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan