Kemaruk nak jadi YB akhirnya tertipu

Hasrat jadi calon PRU-15 tak kesampaian, rugi pula RM32 juta
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
SEKUMPULAN ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk mendakwa mengalami kerugian lebih RM32 juta akibat diperdaya seorang pengarah syarikat ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SEKUMPULAN ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk mendakwa mengalami kerugian lebih RM32 juta akibat diperdaya seorang pengarah syarikat ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Bayan Lepas: Sekumpulan ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk mendakwa diperdaya seorang pengarah syarikat menerusi kerjasama penubuhan parti politik baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu menyebabkan kerugian sehingga RM32 juta.

Malah, ada dalam kalangan mereka turut mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan serta pinjaman wang dengan individu sama.

Mangsa yang juga bekas calon Bebas di Melaka, Datuk Kamisan Palil, 38, berkata, beliau bersama beberapa rakan berjumpa dengan individu berkenaan yang kononnya meminta mereka bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Melaka.

Katanya, individu itu mendakwa segala kos pertandingan akan ditanggung olehnya dan bagi persiapan pertandingan di Parlimen Jasin, beliau menggunakan wang sendiri berjumlah RM150,000 sebagai pendahuluan.

"Saya menghubungi individu itu semula namun semua panggilan tidak dijawab malah dia turut mengundur diri dalam semua grup aplikasi WhatsApp.

"Akibatnya, nama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diuruskan saya terpalit dengan kerjasama penubuhan parti itu," katanya ketika ditemui di sini.

Kamisan berkata, beliau turut hilang pendapatan sebagai pembekal kelapa muda disebabkan janji manis ditaburkan sebagai calon.

"Saya tidak puas hati dengan tindakannya dan bimbang orang lain menjadi mangsa penipuan lelaki ini serta membuatkan saya tampil membuat laporan polis," katanya.

Terdahulu, lima individu tampil membuat laporan menjadi mangsa penipuan seorang pengarah syarikat di Balai Polis Bayan Baru di sini, semalam.

Mereka mendakwa lelaki bergelar Datuk itu menjanjikan peruntukan RM4.5 juta kepada setiap calon kerusi Parlimen.

Difahamkan seramai 160 calon terpedaya dengan individu itu membabitkan kerugian sekurang-kurangnya RM200,000 seorang.

Sementara itu, Mohamed Mahyuddin Tajuddin, 63, pula mendakwa dia kerugian sebanyak RM500,000 akibat diperdaya pengarah syarikat itu berhubung pelantikan wakil rakyat di Hulu Selangor.

Katanya, dia juga dilantik sebagai timbalan penaja parti dan mengikut individu berkenaan ke seluruh negara bagi pelaksanaan kerjasama itu.

"Saya diminta bagi mengurus pelaksanaan serta melakukan kertas kerja beberapa projek yang dijanjikan namun selepas seminggu, dia memberi pelbagai alasan termasuk tidak boleh bertanding susulan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan penubuhan parti berkenaan.

"Sehingga laporan ini dibuat, tiada sebarang rundingan dibuat berhubung perkara itu dan saya rasa diperdaya.

"Semakan juga mendapati bukan saya saja menjadi mangsanya malah orang lain turut berdepan situasi sama," katanya.

Manakala Datuk Norhisham Nasrom, 40, berkata, beliau mengalami kerugian hampir RM500,000 bukan saja diperdaya untuk menjadi calon Parlimen Bagan Serai, Perak malah individu itu turut meminta pinjaman secara peribadi.

"Pada masa ini, wang tidak menjadi pertikaian saya, ia lebih kepada maruah selaku pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penyatuan Malaysia yang mana selama ini sudah banyak bantuan demi kesejahteraan rakyat saya lakukan.

"Saya juga tidak mahu orang lain menjadi mangsa penipuan individu ini kerana impaknya mengubah kehidupan sehingga ada dalam kalangan rakan kami yang menjadi muflis.

"Diharap mangsa lain turut tampil buat laporkan supaya siasatan lanjut dapat dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan