Malaysiakini
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat pemilikan banglo bernilai jutaan ringgit yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelas Fahmi, meskipun pemimpin PAS itu mendakwa banglo berkenaan milik abangnya, namun wajar untuk SPRM menyiasatnya terlebih dulu.
"Kita kena tanya dia satu benda simple (mudah), banglo macam mana...banglo ni siapa punya banglo.
"Orang dulu-dulu sebelum ni, kita tanya pasal isu Bangla (Bangladesh). Sekarang kita tanya pasal isu banglo pula.
"Jadi Sanusi kita kena tanya dia, kena tanya dia dari mana datang (banglo), dia kata abang dia berhempas pulas dengan (ikan) Yu untuk dapatkan banglo ni," katanya ketika berucap pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, di Tanjung Karang, malam tadi.
Dua hari lalu, Muhammad Sanusi menafikan rumah banglo mewah di Sik Kedah miliknya, sebaliknya ia milik abangnya yang dikenali sebagai Budin.
Menurut Sanusi, seperti dipetik Harakahdaily, abangnya itu bekerja sebagai penyelam dasar laut.
Penafian itu dibuat ketika dakwaan dia memiliki sebuah rumah banglo di Sik seperti yang ditularkan menerusi media sosial.
"Orang Sik rata-ratanya tahu rumah itu rumah Budin bukan Sanusi. Sebagai adik, saya tahu abang saya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya.
“Dia seorang yang berhati cekal, kuat kerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup.
"Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Saya sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Fahmi menggesa SPRM supaya "memeriksa" abang menteri besar Kedah yang didakwa sebagai pemilik kediaman itu.
"Jadi saya harap pihak SPRM boleh tolong periksa\lah ya abang beliau (Muhammad Sanusi).
"Tengok sikit besar betul rumah banglo ni," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan