Malaysiakini
Menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, dilaporkan akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang esok.
Pendakwaan terhadap pengarah pilihan raya PN itu dipercayai berkaitan kenyataan yang didakwa menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih menteri besarnya.
Menerusi carian laman sistem kehakiman, pendakwaan terhadap Sanusi akan dibuat di dua Mahkamah Sesyen berbeza.
Terdahulu dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan menteri besar Selangor.
Sanusi beberapa hari lepas memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana berkata baginda memilih menteri besar “cokia (lekeh)”, ketika mengkritik rakan sejawatnya Amirudin Shari.
Sanusi bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputar belit oleh musuh politik BN dan Pakatan Harapan (PH).
Berikut antara kenyataan Sanusi yang menimbulkan kontroversi dan mengundang laporan polis itu:
"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin). Inci pun tak berapa cukup.”
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bahawa isu kenyataan Sanusi yang didakwa menghina baginda belum selesai, menurut pejabat diraja.
“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” kata pejabat itu dalam kenyataan di media sosialnya petang ini.
Kenyataan itu juga mendedahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan menghadap baginda di di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Pertemuan secara berasingan itu, kata pejabat itu, membincangkan mengenai kenyataan Sanusi dalam ceramahnya di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan