'Pesan akhir' Salahuddin: Sedarlah, semua hanya sementara

Malaysiakini

Sebelum jatuh sakit secara mendadak, Allahyarham Salahuddin Ayub sempat berkongsi kata-kata nasihat dan seperti pesan terakhir kepada pelajar dalam satu program di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, 21 Julai lalu.

"Apa pun jawatan kita hari ini, sedarlah ia hanya sementara," katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan secara langsung di media sosialnya semalam.

Tidak lama kemudian, Salahuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup dikejarkan ke hospital selepas mengalami pendarahan otak dan meninggal dunia malam tadi.

Dalam ucapannya Salahuddin berpesan supaya setiap orang perlu kekal bersikap rendah diri walau apa pun jawatan yang dipegang.

"Bagi saya senang saja, jadi menteri atau jadi VC (naib canselor), jadi apa pun kalau di peringkat penjawat awam ini adalah KSN (ketua setiausaha negara), kalau polis IGP (ketua polis negara).

"Kita kena ingat kita pegang jawatan ini sampai bila? Saya tadi turun tadi ternampak ada kereta rasmi, ada pengawal peribadi dan pada hari ini tak kurang tujuh pegawai khas saya. Sampai bila itu?

"Cuba fikir baik-baik, sampai bila itu? Sampai kiamat? Kalau saya nak berlagak, oh... saya sekarang menteri, boleh macam itu?

"Jadi apa pun jawatan kita hari ini sedarlah ia hanya sementara," katanya yang juga timbalan presiden Amanah.

Salahuddin seterusnya berpesan kepada pelajar yang hadir ke program berkenaan supaya melakukan yang terbaik dalam apa jua peluang yang diberikan.

“Bagi saya, saya kebetulan berada dalam politik selama 40 tahun. Saya pilih rakyat kerana rakyat pilih saya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan