Malaysiakini
Pakatan Harapan (PH) dan BN Kedah meletakkan keyakinan mereka mampu menewaskan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar berkata, ia berasaskan formula 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam tangan dan hanya memerlukan tiga kerusi lagi.
Katanya, keyakinan itu berasaskan data dan statistik.
"Kekuatan kita memang ada di bandar dan pinggir bandar, tapi apa perlu dilihat ialah perubahan sekarang sudah sampai ke luar bandar.
"Perubahan untuk orang (pengundi) rasa sudah tak dapat nak terima (PN) lagi. Mungkin mereka terpengaruh dan terpedaya seperti diungkapkan sebelum pilihan raya, mereka rasa macam bersalah undi PN dengan mempercayai sentimen ditiupkan kononnya ada ancaman kepada agama dan bangsa," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai 36 kerusi, dengan PN sebelum ini memegang 20 kerusi (PAS-14, Bersatu - enam); PH 10 kerusi (PKR - lima, Amanah - tiga, DAP - dua); BN dua kerusi (Umno - 2) dan Pejuang (dua).
Dua kerusi DUN kosong susulan tindakan Adun Gurun Johari Abdul dari PKR yang mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu apabila dia dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat manakala DUN Belantek kosong akibat kematian Adunnya, Mohd Isa Shafie pada 14 Jun.
DUN Kedah dibubarkan pada 28 Jun dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan pembangkang supaya terus berangan-angan untuk merampas Kedah daripada PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan