FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang bekas Adun Bersatu Selangor mengakui ucapan melampau segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN) di pentas ceramah telah menyukarkan usaha gabungan itu menarik undi atas pagar.
Pemimpin enggan dinamakan itu berkata kenyataan pemimpin PAS Sanusi Nor yang menyentuh kewibawaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyebabkan peluang cerah PN untuk menawan negeri berkenaan pada PRN, bertukar “malap”.
Tegasnya, parti berasaskan agama dan kaum seharusnya sedar akibat jika menyentuh isu sensitif khususnya melibatkan institusi diraja lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen.
“Dari dulu lagi, kita sudah ingatkan parti-parti berasaskan kaum ni jangan sentuh mengenai agama, bangsa dan raja (3R) sebab ia perkara sensitif.
“Kalau kita sentuh raja kita kemudian bangsa lain sentuh, kita marah kan?,” katanya merujuk ucapan Sanusi yang memperlekeh pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.
“Kenyataan tidak sensitif itu menyebabkan kita susah diterima di lapangan, lebih-lebih lagi di kawasan majoriti pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.
Dalam ucapannya yang tular, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN dipaparkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.
“Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin). Inci pun tak berapa cukup,” katanya di pentas ceramah di Selayang, minggu lalu.
Bekas Adun itu menambah ucapan Sanusi itu mengundang kemarahan pemimpin dan akar umbi Bersatu di Selangor yang mendesaknya memohon maaf.
Beliau juga tidak menolak desakan itu antara sebab Sanusi mengutus warkah memohon keampunan kepada Sultan Selangor Jumaat lalu.
Seorang lagi sumber PN berkata Sultan Sharafuddin murka dengan “kenyataan Sanusi yang dianggap menghina institusi diraja Selangor”.
Sultan Selangor semalam bertitah kes itu “masih belum selesai” walaupun Sanusi sudah membuat permohonan maaf.
Mengikut laporan media, Sanusi dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini dipercayai berkait ucapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan