Tak puas hati isu calon, bakar bendera parti, BERSATU pecat ahli

Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my
Bendera PN dibakar. - Foto tular.
KUALA LUMPUR: Seorang ahli BERSATU dipecat dan dua lagi digantung keahlian selama tiga tahun berkuat kuasa Rabu lalu selepas didapati menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN), baru-baru ini.

Difahamkan, ketiga-tiga ahli biasa BERSATU Bahagian Hulu Selangor itu dikenakan tindakan disiplin selepas terbabit dalam insiden membakar bendera PN, yang tular di media sosial minggu lalu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ketiga-tiga ahli parti itu dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar Fasal 10.2.2 Perlembagaan BERSATU menerusi perbuatan menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya PN.

Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada Rabu lalu memutuskan memecat seorang ahli BERSATU dan menggantung keahlian dua lagi anggota parti yang terbabit dengan perbuatan berkenaan.

Pada masa sama, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang memberi amaran akan memecat mana-mana ahli BERSATU yang melanggar disiplin parti dengan bertanding tanpa kebenaran, menjadi pencadang atau penyokong kepada mana-mana parti lain atau calon Bebas.

"BERSATU menzahirkan komitmen tertinggi untuk memastikan gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, berserta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang berlangsung serentak pada 12 Ogos depan, berada pada tahap paling maksimum bagi menjamin kemenangan PN.

"Sehubungan itu, BERSATU menegaskan bahawa mana-mana ahli BERSATU yang tidak mendapat kebenaran parti tetapi bertindak melanggar disiplin parti dengan bertanding, menjadi pencadang atau penyokong kepada mana-mana parti lain atau calon Bebas, keahliannya terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.4 Perlembagaan BERSATU," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, tular di beberapa gambar di media sosial menunjukkan beberapa individu memijak dan membakar bendera PN.

Tindakan itu dikatakan sebagai bantahan dan memboikot pengumuman calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, selepas nama Muhammad Muhaimin Harith diumumkan oleh pimpinan PN.

Menurut hantaran berkenaan, ahli BERSATU Bahagian Hulu Selangor dikatakan menolak Muhammad Muhaimin, sebaliknya mencadangkan Khairul Azhari Saut bertanding di DUN Batang Kali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan