Shahbudin Husin
Walaupun Muhammad Faiz Na’aman bukan nama yang cukup besar dalam kepimpinan Bersatu, tetapi keputusannya keluar parti adalah suatu petanda yang menunjukkan lebih banyak pergolakan akan berlaku selepas ini dalam parti itu.
Dalam pengumuman perletakan jawatan sebagai Ahli MPT dan seterusnya keluar parti, beliau mendakwa, Bersatu kini sudah terpesong dari objektif awal penubuhannya yang kononnya untuk menggantikan UMNO.
“Saya lihat sedikit demi sedikit Bersatu telah terpesong dari objektif awal penubuhannya yang kononnya untuk menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baharu, terutama yang mempunyai latar belakang bersih, berkelulusan akademik, dihormati dan mereka setia dengan parti dari mula.
“Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu telah mengalami kekalahan dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya.
Selain mempertikaikan pemilihan calon pada PRN kali ini, Faiz berkata, sejarah kekalahan itu dilihat bakal berulang di enam negeri pada 12 Ogos ini, terutamanya di Selangor.
“Pemilihan calon yang berat sebelah kepada pihak kartel tertentu serta calon bidan terjun yang baharu dijadikan ahli parti, hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor telah menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian Bersatu di Selangor ini hingga terdapat insiden membakar bendera PN secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan jawatankuasa pemilihan calon,” katanya lagi.
Melihat daripada keputusan yang diambil Faiz ini dan ia boleh dianggap sebagai permulaan, tidak perlu menunggu terlalu lama, barangkali selepas berakhirnya PRN pada 12 Ogos nanti atau sebelum berlangsungnya pemilihan parti awal tahun depan, api dalam sekam yang selama ini tidak berbunyi, pasti tidak dapat ditahan lagi.
Sejak beberapa ketika, kalau kita berjumpa dan berbual-bual dengan pemimpin-pemimpin Bersatu, luahan tidak puas hati dan kemarahan mereka terhadap parti adalah tajuk yang kerap sekali diluahkan.
Seolah-olah perasaan itu terlalu berbuku dalam hati dan dapat meluahkannya adalah suatu kelegaan buat mereka.
Sekurang-kurangnya dua isu menjadi punca kepada apa yang berlaku dalam Bersatu itu:-
Pertama, kepimpinan Mahiaddin Md Yasin yang terlalu ego dan selalu menutup telinga terhadap pandangan atau pendapat orang lain.
Mahiaddin dikatakan terkongkong dengan pemikiran dua tiga orang yang dekat dan rapat dengannya saja.
“Masa jadi Perdana Menteri begitulah perangainya, setelah hilang kuasa pun tetap sama juga.
“Semasa ada kuasa, bolehlah juga diterima jika beliau punya ego yang tinggi dan enggan terima pendapat orang lain, tapi bila tiada lagi kuasa, sepatutnya pandanglah lantai selalu.
“Ingatkan bila sudah jatuh dan tidak lagi berjawatan Perdana Menteri, ada perubahan dalam sikapnya, malangnya Mahiaddin tetap Mahiaddin,” kata seorang pemimpin Bersatu tidak lama sebelum ini.
Katanya lagi, beberapa keputusan melibatkan parti juga banyak dibuat oleh Mahiaddin secara sendirian tanpa berunding dengan pihak berkepentingan yang lain.
Perkara kedua yang menjadi isu ialah pengaruh Azmin Ali sebagai orang baru dalam Bersatu yang dilihat terlalu melebar dan seolah-olah ingin mencatur dan meletakkan banyak cap jarinya dalam parti.
Kejayaan Azmin berbuat demikian dikatakan kerana beliau berjaya mempengaruhi Mahiaddin untuk mendengar cakap dan menurut kehendaknya.
Ada pemimpin Bersatu menyebut, Azmin selalu main “langgar saja”terhadap orang-orang lama dalam Bersatu dan hanya berurusan dengan Mahiaddin seorang saja.
“Pemilihan calon dalam PRN Selangor, selain kecenderungan Mahiaddin sendiri untuk tetap meletakkan bekas Ahli Parlimen Gombak itu sebagai calon Menteri Besar adalah bukti nyata mengenainya.
“Mahiaddin seolah-olah tidak sedar bahawa menonjolkan Azmin adalah tindakan berbahaya untuk beroleh kemenangan kerana isu-isu mengenai dirinya, terutama video Haziq boleh jadi akan dimunculkan semula di saat-saat akhir kempen nanti,” ujar pemimpin berkenaan.
Dalam banyak keadaan ketika ini, melalui banyak dapatan yang ditemui, hanya Hamzah Zainuddin boleh dikira sebagai penyelamat parti kerana beliaulah yang selalu bertindak sebagai pengimbang keadaan bila saja timbul apa-apa rungutan daripada mana-mana pihak.
“Selepas PRN, terutama jika calon-calon Bersatu lebih banyak yang kalah daripada menang, masa depan parti hanya boleh diselamatkan jika Mahiaddin tidak lagi menjadi Presiden.
“Untuk bergerak ke hadapan dan mendepani PRU16, Mahiaddin yang pernah gagal sebagai Perdana Menteri, ditambah ada kes mahkamah sedang dihadapinya, kekalnya beliau menerajui Bersatu hanya memungkinkan kehancuran kepada PN daripada angan-angan ingin mencipta kemenangan,” kata seorang pemimpin Bersatu yang lain. – ShahbudinHusin 07/08/2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan