Apakah benar: Keputusan PRN 6 negeri penentu nasib kerajaan perpaduan

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Dua minggu kempen yang relatifnya kurang bermaya akhirnya melabuh tirai tengah malam tadi dengan pengundi di enam negeri akan memilih hari ini.

Keputusan PRN enam negeri dilihat akan terus meningkatkan suhu politik untuk beberapa minggu mendatang

PRN kali ini untuk memilih wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menentukan parti mana akan berkuasa untuk tempoh lima tahun lagi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu.

Bagaimanapun, pengundian itu juga dianggap sebagai referendum oleh proksi kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim, dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kedua-duanya seteru sebelum ini sambil turut dianggotai parti Malaysia Timur.

Keputusan PRN juga boleh dianggap sejauh mana rakyat menerima gabungan PH-BN memandangkan tiada satu gabungan pun pada PRU15 mampu membentuk majoriti Parlimen secara bersendirian, pada 2022.

Masa depan kerajaan perpaduan Anwar berkemungkinan masih di awang-awangan.

“Jika status quo kekal, Anwar boleh kata (hampir) 10 juta pengundi menerima kerajaan perpaduan di peringkat pusat,” kata penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara kepada FMT.

Teori pembelotan

Namun, jika status quo tidak kekal, Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan kejayaan itu sebagai “peluru” mendakwa gabungan itulah sepatutnya berkuasa di Putrajaya.

Topik siapa patut berkuasa menjadi tema konsisten pada PRN dengan pemimpin PN seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan beberapa Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan menunggu masa untuk gabungan itu menang PRN 12 Ogos, sebelum mengumumkan sokongan.

Hadi juga mendakwa kemenangan PN di semua enam negeri akan menjurus penukaran kerajaan persekutuan.

Ramkarpal Singh dari DAP bertindak membidas dakwaan tersebut sambil menyatakan undang-undang anti-lompat sudah berkuat kuasa tahun lalu yang menjadi penghalang Ahli Parlimen melompat.

Telatah Sanusi

Walaupun pengundian hanya memilih Adun, hanya sebahagian kecil isu tempatan mendapat perhatian, melainkan apa berlaku di Kedah dan Selangor.

Di Kedah, unsur nadir bumi menyaksikan Menteri Besar Sanusi Nor dikaitkan kontroversi dakwaan perlombongan haram.

Di Selangor, tuduhan dilemparkan kepada kerajaan negeri melibatkan projek pembesaran sungai RM700 juta dikenali projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) selain pembinaan PJ Dispersal Link (PJD).

Dalam pada itu, tingkah laku Sanusi mendapat perhatian apabila kontroversi bertukar kepada pertembungan personaliti dan serangan peribadi antara pengarah pilihan raya PN itu dengan seterunya dari PH.

Walaupun mendapat publisiti, Azmi berkata, populariti Sanusi terhad di Kedah dan telatahnya boleh memakan diri terutama melibatkan pengundi atas pagar yang melihat kegagalannya membangunkan negeri itu mengambil kira kedekatannya dengan Pulau Pinang.

Gelombang hijau

PRN juga menyajikan platform kepada PN membuktikan “gelombang hijau” pada PRU15, yang mana PAS menang kebanyakan kerusi sebagai satu parti bukan sekadar “berlaku sekali”.

Azmi berkata, apa yang ditunjukkan oleh PN akan menyokong dakwaan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu bahawa “perkahwinan” antara partinya dengan PAS adalah “kukuh”, satu dakwaan yang dipersoal Presiden Amanah Mohamad Sabu dan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman.

Faiz, mengumumkan keluar parti selepas mendakwa parti itu tidak diberikan penghormatan oleh “parti terkuat komponen PN” merujuk kepada PAS, yang bertanding sebahagian besar kerusi pada PRN.

Bagaimanapun, Azmi berkata jika prestasi PN merudum, PAS dilihat akan meletakkan kesalahan kepada “Bersatu dan sebaliknya yang kemudian menyalahkan Gerakan”.

Muda di atas jurang

Pemerhati berkata, Muda berkemungkinan tumpas di semua kerusi ditandingi menjurus persoalan masa depan parti berkenaan terutama jika calonnya hilang deposit. Parti itu juga perlu melihat semula strategi dan prospek mengadakan kerjasama dengan parti lain, selepas kritikal terhadap PH.

Jika Muda kalah seperti dijangka, ia menjadi “isyarat jelas mereka tidak mampu bersendirian. Mereka perlu kepada parti besar sama ada PH atau PN, jadi menjadi pengajaran berguna kepada Muda atau (presiden) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, katanya.

Penting bagi semua parti bertanding mereka mendapat dukungan rakyat. Kertas undi akan menunjukkan pihak mana mendapat kelebihan – namun pemenang mahupun pihak kalah yang sebenar bukannya diketahui dalam keputusan malam ini sebaliknya apa berlaku selepas itu menjadi penentu segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan