Bukan Melayu penentu di 4 negeri, menurut kajian

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kaji selidik Ilham Centre mendapati keputusan menjelang PRN Sabtu ini sangat kuat dipengaruhi undi daripada bukan Melayu, terutama di empat daripada enam negeri.

“Menjangkakan undi Melayu akan terpecah, walaupun keterpecahan itu tidak serius disebabkan saingan dua penjuru (PH-BN dengan PN) berbanding tiga penjuru seperti mana PRU15.

“…undi kelompok bukan Melayu mampu menjadi penentu (kingmaker) di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang serta kerusi bercampur di selatan Kedah,” kata dapatan itu.

Dalam rumusan kajiannya, Ilham berpandangan PRN turut menguji beberapa perkara termasuk pola pengundian orang Melayu Semenanjung yang dijangka akan lebih jelas arahnya selepas perubahan pola yang mengejutkan ketika PRU15.

Kaji selidik berkenaan dijalankan bermula 11 hingga 27 Julai, melibatkan maklum balas 2,416 responden di enam negeri.

Dari segi populariti, perdana Menteri, kerajaan dan dasar Malaysia Madani dalam kalangan pengundi bukan Melayu berada di tahap yang tinggi dan konsisten di semua enam negeri terlibat.

“Namun, sebaliknya di negeri-negeri PN. Dengan demografi pengundi Melayu yang tinggi di Kedah, Kelantan, Terengganu,
perkara tersebut menjadi berbeza,” katanya.

Ilham Centre berkata, andai kata pola ini diterjemahkan dalam kotak undi pada 12 Ogos nanti, kerusi majoriti Melayu, terutama di zon utara dan pantai timur, lebih mudah dikuasai PN, manakala PH-BN akan menguasai pengundi majoriti bukan Melayu dan kawasan bercampur.

Katanya, pengundi Melayu yang berada di jajaran majoriti Melayu kini condong bersama naratif dibawa PN.

“Ini bermaksud, gelombang PN yang meraih dukungan dan sokongan kawasan majoriti ini masih kukuh,” katanya.

Justeru, BN-Umno perlu berusaha lebih keras untuk meraih kembali sokongan Melayu yang terhakis atau pun yang hilang dalam PRU15 lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan