Kerajinan berfikir yang hilang

Al-Abror Mohd Yusuf

Mungkin kalau sejak 10 hingga 15 tahun lalu Kementerian Pendidikan Malaysia memperkasa aspek kefahaman dalam subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, geger yang berlaku akhir-akhir ini tidak seteruk sekarang.

Kadang-kadang rasa kecewa juga melihat ke mana negara ini mahu dibawa oleh orang politik. Bercakaran tanpa henti itu sudah satu masalah, kemudian ditariknya rakyat seramai mungkin untuk sama-sama terjun ke kolam najis.

Padahal kemelut yang dihadapi itu kadang-kadang mudah saja, tetapi kerana sengaja dipersulitkan oleh sang politikus ia menjadi rumit lagi kompleks. Keadaan menjadi lebih buruk apabila si pengikut memiliki daya faham yang sangat rendah.

Misalnya siapa yang menjadi pemenang dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini. Hanya kerana suatu puak memenangi sejumlah kerusi tidak bermakna mereka "menang". Kecuali kalau kamu menganggap menang sorak itu adalah suatu keadaan.

Itu pun - yakni menang sorak sebagai suatu kejayaan - sejenis isu kefahaman juga.

Kemudian di sisi yang satu lagi, semuanya kalut seperti esok akan kiamat hanya kerana musuh mereka bersorak-sorai meraikan "kemenangan" yang sebenarnya tidak menang sangat pun.

Kemudian datanglah 'fatwa pujangga' yang menganggap sesiapa saja yang tidak bersama mereka adalah musuh agama. Ia kira-kira sama saja dengan sikap ditanamkan oleh George W Bush ketika dia mengajak seluruh dunia mengasak Saddam Hussein dan Iraq pada tahun-tahun 2000-an dulu.

Si Bush itu melakarkan satu saja garisan dalam hubungan diplomatik AS untuk membahagikan politik dunia kepada dua: 'us' (kami) atau 'others' (mereka). Justeru sesiapa yang tidak berada dalam petak Rumah Putih adalah musuh dunia.

Garis pemisah yang tipis

Samalah juga dengan fahaman bahawa sesiapa yang menolak suatu aliran politik yang dijaja adalah musuh agama. Dan sudah tentu pada fahaman mereka, kumpulan yang berada di luar parti berkenaan akan terus dihumban ke neraka dan kekallah di polan bin polan itu di situ selama-lamanya.

Kita tidak memerlukan kemahiran berfikir aras yang tinggi sangat pun untuk mengetahui bahawa hujah simplistik itu sebenarnya sesat lagi menyesatkan. Masalah kita ialah, kefahaman yang rendah dalam kebanyakan anggota masyarakat, selain penyakit malas berfikir yang semakin disuburkan.

Pada masa sama negara ini sedang cuba dihanyutkan perlahan-lahan ke dalam jurang yang sangat dalam. Antara ramuan yang digunakan selalu ialah permainan emosi dan sentimen yang menggunakan naratif kaum serta agama sebagai latarnya.

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, jika sesuatu musibah atau keburukan terjadi, yang paling teruk terjejas tentulah orang biasa yang bergelut dengan hidup di bawah ini.

Orang politik yang meniup-niup bara perkauman dan kebencian itu tidak akan terjejas kecuali sedikit. Mereka akan kekal bersedap-sedapan dengan kuasa, harta dan pengaruh.

Ia pernah berlaku beberapa tahun lalu - kalau kamu sedikit rajin mengulang ingat dan berfikir. Naratif yang sedang dibina sesetengah pihak sekarang ini kira-kira sama saja dengan bisikan jahat ekoran terkorbannya seorang anggota bomba semasa bertugas di Selangor dulu.

Ketika siasatan masih di peringkat awal, ketika dapatan maklumat masih samar, ketika butiran kejadian masih terpisah-pisah, siapakah yang mula-mula membisikkan khabar-khabar jahat kalau bukan orang politik?

Kemudian datanglah episod-episod menghasut itu dan ini sehingga garis yang memisahkan benar dan salah menjadi begitu nipis di mata orang ramai.

Ketika kuasa sudah berada di tangan, nasib Allahyarham Muhammad Adib Kassim itu pun perlahan-lahan dilupakan dan hanya diingat apabila ada kepentingan.

Ketika tiada sesiapa yang ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh, sebenarnya kemanusiaanlah yang terlebih dahulu dimatikan. Mangsa terbesar dan paling tersakiti tentulah keluarga arwah itu sendiri.

Pampasan sebanyak RM1.5 juta - atau lebih sekali pun - tidaklah memberi makna apa-apa kerana yang terkorban tetap terkorban. Harapan yang diberikan oleh pihak tertentu lebur begitu saja.

Dan orang politik yang meniupkan sengketa dan curiga kekal bersedap-sedapan dengan kuasa dan harta.

Sekarang taktik dan naratif itu sedang dibina semula dengan penuh kejahatan. Kebencian dan permusuhan sedang dirangka tanpa sedikit pun rasa malu, sedangkan naluri malu itu - kata nabi - adalah sebahagian daripada tanda adanya iman.

Diam bukan lagi pilihan

Dalam kegawatan begitu, yang kalut bersilat mengelak ketegangan dan cuba mematikan kecurigaan adalah sekerat dua orang biasa. Pihak yang sepatutnya diharap bertanggungjawab - menteri atau kementerian atau jabatan, misalnya - seakan tenggelam punca.

Ia menjadi lebih malang apabila agamawan yang sepatutnya pantas dan bijak memandu umat seperti turut sama kehilangan punca. Sesetengahnya ada bersuara, tapi dalam kias dan bidalan yang bukan-bukan pula.

Keadaan semakin buruk dan tegang, ada antara mereka masih bermadah seloka dan acah-acah pasrah. Padahal itu bukanlah tugas mereka, yakni menjadi seperti pungguk merindukan bulan dan bermadah seloka.

Tugas mereka ialah memandu umat membezakan benar dan salah mengikut neraca agama, bukan parti politik atau kumpulan pemikiran tertentu.

Sesuatu perbuatan atau perkataan yang merosakkan mesti ditegah. Bercakap sipi-sipi bukan lagi pilihan buat masa sekarang. Katakan salah sebagai salah, dan benar sebagai benar - terus terang.

Bagaimana manusia mahu menghormati agama dan ulama jika teguran yang keras itu hanya dibuat ke atas pihak yang tidak sependapat dengan mereka saja? Apabila kesalahan dilakukan oleh "orang kita" maka lemah gemulailah kata-kata yang terucap.

Ketika itu tidaklah ada beza agamawan berkenaan dengan kaki adu domba.

Bimbang menegur atau berkata benar kerana akan dikecam atau kena troll? Usahlah berbicara tentang jihad atau berhati teguh membela agama jika kena troll pun sudah menggetarkan jiwa!

Kerana itu seperti yang dinyatakan tadi, pentingnya aspek kefahaman dimantapkan di sekolah. Bersama dengan usaha itu ialah mengasah kemahiran berfikir agar lebih kreatif dan padu.

Kita sudah letih dengan pelbagai kemelut yang tidak berkesudahan sekarang. Masa untuk berdamai dan mencari ikhtiar agar hidup dapat berlangsung dengan lebih tenang sudah bermula sejak lama dulu, tetapi sering digagalkan oleh orang politik yang bernafsu binatang.

Kewarasan dan kematangan dalam berfikir adalah jawaban kepada kemelut yang sedang merantai sebahagian besar umat Malaysia ketika ini. Soalannya sudah terpapar dan jawabannya juga sudah terang nyata.

Masalah tidak akan selesai apabila soalan yang ditanya lain, dijawab lain. Siapa makan keropok lekor, dia yang terasa ikan atau tepungnya.

Berhentilah menjadi batu api, khususnya dengan membalutnya dengan jubah dan agama.

Politik matang konon....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan