Hidir Reduan Abdul Rashid
Najib Razak memohon pembebasan penuh jika permohonannya agar hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion diterima.
Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ia antara relif yang diminta dalam permohonan agar Sequerah menarik diri yang difailkan hari ini.
Pada 27 Julai lalu, pasukan pembelaan Najib berkata mereka sedang menimbang untuk membuat permohonan itu berhubung pendedahan Sequerah yang dia pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo, individu yang kini dalam tahanan berkaitan skandal 1MDB.
"Kesannya adalah apabila Yang Arif benarkan permohonan, mahkamah yang mulia ini perlu membenarkan pembatalan keseluruhan prosiding (1MDB) dan pembebasan pemohon (Najib).
"Jika pemohonan (hakim menarik diri) dibenarkan, Yang Arif perlu mengarahkan kes ini dibicarakan semula di depan hakim Mahkamah Tinggi yang lain," kata Muhammad Shafee Abdullah.
Ketika Sequerah bertanya kepada pihak pendakwaan jika mereka sedia untuk penghujahan permohonan itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar berkata ia mustahil kerana permohonan tidak diserahkan secara rasmi kepada mereka.
Dia berkata mereka perlukan masa sekurang-kurangnya sehingga esok untuk bersedia dan memfailkan penghujahan lisan bagi membantah permohonan itu.
Sequerah kemudian menetapkan untuk mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada Khamis ini.
Shafee kemudian memohon perbincaraan 1MDB ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu, namun Sequerah menolaknya dan mengarahkan perbicaraan diteruskan seperti biasa.
Sebelum ini, bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz memberi keterangan kepada pendakwaan.
Hari ini, dia juga dilihat berada di kandang saksi dan membuat persediaan untuk menyambung keterangannya.
Sequerah adalah rakan kongsi dengan Loo dalam firma guaman Zain & Co antara 10 hingga 15 tahun lalu, ketika dia masih menjadi peguam.
Loo kemudian meninggalkan firma itu dan Sequerah menjadi hakim pada 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan