Gloria Jaymess
Seorang pegawai pendidikan di Sabah hari ini mengaku telah meletakkan tarikh lama (backdate) ketika menandatangani buku rekod mengajar seorang guru yang didakwa sering ponteng mengajar.
Norhana Ijek berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi plaintif dalam kes saman bekas pelajar SMK Taun Gusi di Kota Belud, Siti Nafirah Siman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini.
Norhana yang ketika itu ketua panitia Bahasa Inggeris berkata pada 2015, guru subjek itu, Mohd Jainal Jamran gagal menghantar buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bermula Februari dan hanya menghantar buku itu pada Ogos tahun yang sama setelah diarah berbuat demikian.
Katanya lagi, setelah menerima buku itu, dia meletakkan tarikh lebih awal ketika menandatanganinya untuk mengesahkan Mohd Jainal menghantar buku tersebut pada setiap minggu sejak Februari hingga Ogos.
"Dia tidak menghantar (buku itu) tetapi mungkin pada minggu yang tertentu ada menyediakannya", kata Norhana yang kini memegang jawatan timbalan pegawai pendidikan daerah Kota Belud.
Norhana memberitahu mahkamah dia hanya sedar kesilapannya setelah Siti Nafirah memfailkan saman pada 2018.
Siti Nafirah
Susulan itu, katanya, dia membuat laporan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan berterus-terang bahawa tandatangannya dalam buku RPH Mohd Jainal dari Februari hingga Ogos 2015 adalah salah.
Dia berkata JPNS menasihatinya agar membatalkan tandantangan tersebut dan menggantikannya dengan tandatangan baru, dengan "Ogos 2015" sebagai rekod tarikh menerima RPH daripada Mohd Jainal.
'Cuba pujuk Siti Nafirah'
Norhana berkata dia bersama seorang kerani sekolah atas arahan pengarah JPNS telah ke rumah Siti Nafirah untuk memujuk remaja itu agar menyelesaikan kes di luar mahkamah.
Namun, dia berkata mereka gagal untuk bertemu Siti Nafirah pada masa itu.
Menjawab soalan peguam plaitinf Shireen Sikayun, Norhana mengakui Mohd Jainal memang ada masalah kehadiran dan dia pernah membuat aduan rasmi kepada pengetua SMK Taun Gasi berkenaannya.
"Saya mendapati menjadi tugasan pengetua dan penolong kanan pentadbiran untuk memantau keberadaan guru di dalam kelas.
"Malangnya, selama saya berada di sekolah tersebut, tidak pernah ada pemantauan daripada pihak pentadbir," dakwanya.
Norhana merupakan saksi kedua yang memberi keterangan dalam perbicaraan hari ini.
Sebelum itu, guru SMK Taun Gusi, Awang Erawan memberitahu mahkamah bahawa Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud pernah mengadakan mesyuarat melibatkan Mohd Jainal, pembantu guru Bahasa Inggeris Fullbright, Ibrahim Jaidol dan seorang lagi guru sekolah itu, Nurhaizah Ejab.
Namun, dia berkata perbincangan itu berhubung konflik yang lain dan tidak menyatakan sama ada isu ketidakhadiran Mohd Jainal disentuh atau tidak.
Siti Nafirah memfailkan saman sivil terhadap Mohd Jainal atas dakwaan guru itu tudak masuk mengajar selama tujuh bulan pada 2015.
Selain Jainal, dia juga bekas pengetua Suid Hanapi, SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dia mendakwa kegagalan defendan pertama untuk hadir mengajar Bahasa Inggeris di kelas, serta defendan kedua untuk mengambil langkah munasabah untuk mengatasi perkara itu, mengakibatkan pelajar 4PD tidak bersedia untuk peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta Pendidikan 1996.
Selain kes ini, tiga lagi bekas pelajar SMK Taun Gusi turut memfailkan saman atas perkara serupa, dengan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Julai lalu memerintahkan mereka diberi pampasan RM50,000 seorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan