Lawan perjuangan Islam: Amanah Kelantan cabar MB tunjuk bukti

Malaysiakini

Amanah Kelantan mencabar menteri besar negeri itu agar menunjukkan bukti parti itu terlibat dalam sebarang tindakan melawan "perjuangan Islam".

Pengarah Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Kelantan Hisham Fauzi berkata langkah itu perlu selepas ahli politik terbabit membuat dakwaan terbuka semalam.

"Kanun Amanah Kelantan dengan ini mencabar Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud untuk menjelaskan dan menunjukkan kepada rakyat Kelantan dari aspek manakah Amanah menentang perjuangan Islam.

"Dalam keadaan manakah Amanah menolak Islam?

“Keputusan yang mana menunjukkan Amanah menolak, atau menentang, atau bertentangan dengan hukum Islam," katanya dalam kenyataan kepada media malam tadi.

Hisham berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nassuruddin semasa memberikan kuliah di Kota Bharu semalam.

Menurut video yang tular itu Nassuruddin mendakwa kemenangan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.

Dia juga juga menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN selepas menewaskan calon PAS di kawasan terbabit sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.

Elak mudah terpengaruh

Dua kerusi itu ialah Galas, yang dimenangi calon Umno, Mohd Syahbuddin Hashim; serta Kota Lama (Dr Hafidzah Mustakim - Amanah).

Kedua-dua Adun terbabit beragama Islam.

Menurut Hisham, kenyataan dibuat Nassuruddin itu memberi tanggapan yang sangat salah kepada orang ramai.

Katanya semua orang Islam berhak melaksanakan perjuangan berlandaskan Islam seperti yang diajar Nabi Muhammad SAW dan bukan hak yang dimonopoli PAS.

"Kanun Amanah Kelantan dengan ini menegaskan bahawa pandangan sebegitu adalah salah, dan tidak benar sama sekali.

"Perjuangan Islam bukanlah 100 peratus hanya milik PAS. Perjuangan Islam adalah sebagaimana yang diwariskan Rasullah SAW adalah milik semua Umat Islam," katanya.

Hisham berkata kegagalan Nassuruddin memahami perbezaan di antara jamaatul muslim dan dan jama'ah minal muslimin sangat mendukacitakan kerana pada masa sama ahli politik terbabit mendakwa dirinya sebagai ulama.

Dalam kuliah yang disampaikan di Medan Ilmu di Kota Bharu itu, Nassuruddin antara lain dipetik sebagai berkata: "Alhamdullilah orang muda bersemangat, orang tua tu sokmo dah sokong perjuangan Islam. (Tapi) orang muda sokong, alhamdullilah, sehingga tinggal dua kerusi.

"Takpolah kena ada juga. Orang nak tengok lagu mana hak lawan perjuangan Islam ni... lagu mano. Jadi rakyat buleh tunjuk, lagu tu lah pesen," katanya.

Mengulas lanjut, Hisham menyeru rakyat Kelantan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan liar pemimpin PAS.

"Saya dengan ini suka untuk mengingatkan rakyat negeri Kelantan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan, dakyah-dakyah liar tidak berasas, tidak berpandukan dalil-dalil agama, yang dikeluarkan pemimpin PAS yang semakin galak melabelkan musuh-musuh mereka sebagai kafir, sebagai penentang Islam, sebagai musuh Islam.

"Saya akan terus berdiri dalam Amanah menentang usaha ektremisme di dalam pelaksanaan Islam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan