M Hifzuddin Ikhsan
am@hmetro.com.my
Alor Setar: Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yakin sudah memiliki 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya memerlukan tambahan tiga lagi kerusi bagi membentuk kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar, berkata tambahan tiga kerusi itu adalah bagi membolehkan PH-BN mendapat majoriti mudah, sekali gus dapat menyerahkan nama calon Menteri Besar baharu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah.
"Saya masih berkeyakinan bahawa 16 kerusi sudah dalam genggaman kami, kita hanya nak mengejar tiga kerusi saja lagi, saya penuh yakin tiga kerusi itu sudah dicapai setakat ini. Saya tak boleh sebut tiga kerusi itu di mana, itu rahsia dan kita tak mahu mengganggu kerana margin tiga kerusi itu kecil.
"Kita sedang usaha lonjak untuk dapat satu jumlah yang selesa, sebab kalau menang lebih daripada 19 kerusi, saya anggap itu satu bonus. Kita tak perlu untuk kejar kepada satu jumlah yang sukar bagi kita untuk bergerak, jadi kita bergerak hanya untuk tiga kerusi kerana 16 kerusi sudah ada, majoriti mudah (19 kerusi) itu sudah ada," katanya pada sidang media di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan akan berubah sekiranya enam negeri yang mengadakan PRN dimenangi Perikatan Nasional (PN), Mahdzir menegaskan perkara itu tidak akan berlaku kerana PRN hanya membabitkan kerusi DUN saja.
Beliau yang juga calon BN di kerusi DUN Pedu berkata, banyak tuduhan tidak benar dibuat ke atas kerajaan Persekutuan sedangkan pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dirasai di negeri yang pentadbirannya sama di peringkat Persekutuan.
"Apa yang kerajaan Persekutuan umumkan seperti di bawah kluster ekonomi, pembangunan dan kebajikan sebenarnya sedang dilakukan, tapi kerana ia baharu bergerak dalam lapan bulan ini, kesannya tidak dapat dilihat secara keseluruhan.
"Di Kedah kalau kita dapat selarikan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, maka faedah itu dapat dirasai lebih cepat sama seperti di negeri (ditadbir Kerajaan Perpaduan) dan kita boleh laksanakan dengan lebih baik lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan