Malaysiakini
Gara-gara tertekan pedal minyak, seorang remaja berusia 16 tahun secara tidak sengaja merempuh pelanggan di Medan Selera Tanjung Kling, Melaka, petang semalam
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian 2.43 petang itu, kereta Toyota Avanza dikendalikan remaja terbabit turut melanggar kereta Proton Suprima S yang diparkir bersebelahan.
"Sebelum kejadian itu, remaja berkenaan diarahkan ibunya untuk memanaskan enjin kereta sebelum dia tertekan pedal minyak dan menukar gear kereta berkenaan pada mod mengundur.
"Akibat tindakan itu, kereta berkenaan mengundur secara mengejut lalu melanggar kereta yang diparkir bersebelahannya selain turut merempuh pelanggan yang sedang makan di medan selera terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kemalangan itu menyebabkan Proton Suprima S tersebut mengalami kerosakan pada pintu dan cermin kereta namun pemandu kereta itu serta remaja tersebut tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak mengetahui jumlah atau keadaan pelanggan yang terlibat dalam rempuhan itu kerana tiada laporan dibuat.
Christopher berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
Hari ini, satu video berdurasi 21 saat tular di media sosial, memaparkan sebuah kereta Toyota Avanza melanggar kereta diparkir bersebelahan sebelum mengundur secara laju dan merempuh pelanggan termasuk kanak-kanak dan bayi di medan selera itu
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan