HarapanDaily.com
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani dilihat tidak puas hati terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Walhal, Dusuki sendiri menarik balik rayuannya berhubung saman fitnah terhadap Mujahid di Mahkamah Rayuan Putrajaya, kelmarin.
Malah, dia yang pernah kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menganggap mahkamah tidak adil.
Namun, Dusuki dilihat ‘koyak’ apabila secara tiba-tiba mengaitkan kekalahan Mujahid mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dianggapnya sebagai ‘menyayat hati’.
“Saya tidak rasa akan dapat keadilan sewajarnya dan saya percaya walaupun tuntutan saya ditolak ia tidaklah sebesar ditolak sebagai calon Parlimen Parit Buntar apabila Mujahid kalah dalam Pilihanraya ke 15 kepada Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki dari Perikatan Nasional (PN). Itu lebih menyayat hati,” katanya.
Walaupun fitnah aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam sepatutnya sudah berakhir tetapi Dusuki mendakwa Mujahid sendiri mengaku dan setuju ada menjual aset TH semasa sesi soal balas di mahkamah.
“Di dalam mahkamah dunia, mengaku bahawa ada aset TH dijual kepada bukan Islam.
“Dalam kenyataan di luar beritahu orang lain akur tak jual kepada bukan Islam, berbelit molek, belajar dari gurunya yang suka berbohong, saya ulammm!” katanya menerusi hantaran di Facebook sambil menyindir penegasan ‘ulang’ yang lazim diucap Anwar semasa ceramah.
Dusuki hari ini menerusi kenyataan balasnya di luar mahkamah turut melampirkan petikan ‘perenggan’ dari Nota Keterangan, ‘elemen’ dan ‘soal balas’nya.
“Mahkamah juga memutuskan bahawa saya (Plaintif) tidak boleh bergantung kepada laporan Parlimen kerana laporan Parlimen dibuat sebelum kata-kata tersebut disiarkan oleh Mujahid (Defendan).
“Sedangkan, laporan Parlimen itu sendiri mengesahkan terdapatnya penjualan aset Tabung Haji.
“Ianya telah pun dibahaskan di peringkat Parlimen. Jadi, benar aset Tabung Haji dijual!” katanya yakin.
Sebelum ini, Dusuki yang memulakan saman fitnah dan bukannya Mujahid walaupun yang menjadi mangsa fitnah ialah Dr Mujahid kononnya menjual aset TH kepada bukan Islam.
Saman fitnah itu susulan kenyataan Mujahid di Twitter pada 22 November 2020 iaitu, “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”
Kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu selepas tersebarnya video ceramah Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.
Dusuki kemudiannya kalah di Mahkamah Sesyen apabila penghakiman memutuskan bahawa kata-kata Mujahid itu adalah lebih kepada teguran dan bukannya fitnah.
Pada 14 September 2022 itu, Mujahid berjaya mengetepikan saman fitnah yang dikemukakan Dusuki dan mahkamah mengarahkan pemimpin Pas berkenaan membayar kos sebanyak RM11,000 kepada Mujahid.
Bagaimanapun, Dusuki hari ini tetap berkeras mendakwa bahawa telah memberikan bukti secukupnya bahawa kenyataan Mujahid di Twitter itu adalah fitnah.
“… sedangkan saya (Plaintif) telah memberikan bukti secukupnya bahawa kata-kata tersebut adalah fitnah kerana sememangnya terdapat aset Lembaga Tabung Haji dan/atau Tabung Haji dan/atau syarikat berkaitan dengannya yang dijual dan keterangan ini disokong oleh dokumen yang dijadikan eksibit ataupun bukti semasa perbicaraan,” kata Dusuki hari ini.
Seterusnya, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mei lalu menolak rayuan Dusuki berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang telah menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Mujahid itu.
Mengulas keputusan tersebut, Dusuki hari ini turut melampirkan tiga elemen penghakiman.
“Sah! Kata-kata Mujahid itu sebenarnya menjurus kepada fitnah dan menuduh saya sebagai seorang yang tidak bermaruah dan tidak berintegriti.
“Tapi, Mahkamah Tinggi hanya mengambil keterangan bahawa Hotel Tabung Haji tidak dijual sedangkan apa yang saya ceramahkan adalah berkenaan aset yang merangkumi hartanah seperti ladang dan syarikat.
“Dan hanya sebab itu, rayuan di Mahkamah Tinggi ditolak,” dakwa Dusuki.
Dia menegaskan bahawa apa yang sebenarnya berlaku terdapat bukti yang disokong di mahkamah yang mengatakan ladang atau syarikat milik TH yang dijual kepada syarikat bukan Bumiputera.
Ekoran rasa ‘ketidakadilan’ yang dihadapinya di mahkamah, Dusuki memberitahu bahawa dia akan bermunajat sendiri ‘pelaku’ yang dianggapnya “tidak boleh melaksanakan keadilan Islam.”
“Akan keadilan pada saya biarlah saya munajat sendiri kepada pelaku yang tidak boleh melaksanakan keadilan Islam.
“Benarlah, sesungguhnya keadilan itu hanya dari Allah S.W.T,” kata Dusuki lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan