Wanita ditahan belasah bekas suami ketika tuntut hutang RM87,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan polis semalam atas dakwaan membelasah bekas suaminya ketika cuba menuntut hutang berjumlah RM87,000.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata dalam kejadian kira-kira 6.55 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu sedang mengemas rumah sewanya di Bukit Indah, Ampang sebelum didatangi bekas isterinya berusia 38 tahun yang memarahinya mengenai hutangnya.

Beliau berkata, suspek kemudian menumbuk bibir mangsa, mengetuk kepalanya dengan hulu pengikis simen dan menendangnya di bahagian perut.

“Polis menahan suspek yang bekerja sebagai akauntan di Ampang pada 9.45 malam.

“Suspek dan mangsa baru bercerai pada 11 Julai lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun tujuh bulan,” katanya menurut Harian Metro.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan