Bersatu lebih terjejas selepas PRN - Faiz

Al-Abror Mohd Yusuf & Haspaizi Zain

Ketika detik hari mengundi semakin hampir, bekas pemimpin kanan Bersatu menjangkakan langkah diambil PN mendepani pilihan raya negeri (PRN) tidak akan membawa hasil seperti yang diharapkan.

Menurut Dr Muhammad Faiz Na’aman dia yakin strategi yang disusun PN - khususnya membabitkan Bersatu - akan gagal menarik minat pengundi sekali gus mampu menggugat gabungan parti kerajaan.

Dan itu - bagi bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tersebut - bukanlah berita yang paling buruk buat parti berkenaan.

Apabila 'formula' yang digunakan Bersatu untuk menghadapi PRN di enam negeri - menurut Faiz sekadar meniru langkah yang diambil di Johor dan Melaka dulu - menunjukkan kegagalan, akan adalah pula gerakan ahli meninggalkan parti tersebut.

"Kesan tindakan saya meninggalkan Bersatu akan dapat dilihat dengan lebih jelas apabila PN yang saja jangka kalah di PRN disebabkan (faktor) calon-calon yang tidak sepatutnya dipilih," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Menganggap PN tidak berpeluang untuk merampas Selangor pada 12 Ogos ini adalah gelap, Faiz berkata, calon-calon yang dikemukakan Bersatu-PN memang tidak memiliki potensi untuk berjaya.

"Formula yang digunakan Bersatu untuk menghadapi PRN kali ini lebih kurang sama saja dengan apa yang dibuat semasa di Johor dan Melaka dulu.

"Semua percaturan yang disusun Bersatu akan membuat parti itu kalah," katanya.

Misalnya Faiz menegaskan sekali lagi bagaimana ada ramai calon PN dari Bersatu yang sudah ditolak pengundi semasa PRU ke-15 pada Nov tahun lalu sekali lagi dipilih mewakili PN gara-gara pengaruh kumpulan tertentu dalam parti terbabit.

Tak sesuai untuk semua Melayu

Selain populariti yang tidak meyakinkan dia turut mengaitkan latar belakang akademik yang meragukan pada calon tertentu yang akan membuat pengundi - khususnya di Selangor - akan menolak PN.

Katanya kegagalan PN menampilkan calon baru yang muda juga akan memberi kesan kepada sokongan rakyat berbanding BN-PH.

"Kita boleh nampak di Selangor ada papan-papan tanda yang menampilkan slogan menunjukkan calon PH adalah orang muda, tetapi Bersatu tidak akan mengambil pendekatan sebegitu," katanya.

Tanpa memetik sebarang nama, Faiz dipercayai merujuk kepada sesetengah pemimpin Bersatu yang popular dengan label "kartel" dan dekat dengan bekas menteri kanan, Azmin Ali.

Keadaan PN di Selangor juga menjadi lebih buruk, katanya, apabila pada ketika tertentu strategi serta kenyataan dibuat pemimpin PAS hanya menyulitkan keadaan PN.

Ketika PN mahu membingkaikan gabungan itu sebagai sebuah parti yang sederhana, sesetengah pihak dalam PAS pula menampilkan imej yang agresif.

Kaedah itu, katanya, walaupun mungkin mahu memanfaatkan sentimen Melayu tertentu, hanya sesuai di negeri tertentu yang ramai didiami pengundi Melayu konservatif.

"Di Selangor pendekatan itu tidak akan berjaya," katanya lagi.

PAS juga, menurut Faiz, meletakkan Bersatu dalam keadaan sulit pada beberapa keadaan ekoran pendekatan yang diambil parti terbabit.

Misalnya, kata Faiz, ucapan yang disampaikan Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor di Selayang yang menyentuh institusi diraja, khususnya melibatkan Sultan Selangor sendiri.

Keadaan yang sama juga tambah Faiz jika dilihat kepada bagaimana kerusi-kerusi DUN dibahagi-bahagikan antara parti komponen lain dalam PN.

Walaupun dipersetujui Bersatu bertanding lebih banyak kerusi di Selangor dan PAS membuka ruang yang besar di negeri tersebut, Faiz berkata, kadar peluang untuk menang bagi calon adalah tidak meyakinkan.

"Dari segi jumlah mungkin Bersatu lebih banyak, tapi kita kena tengok juga kualiti kawasan yang diserahkan itu. Kena ambil kira peluang untuk Bersatu menang," katanya.

Justeru Faiz berharap pengundi membuat pilihan dengan bijak pada Sabtu ini dan mengutamakan masa depan serta kestabilan negara berbanding sentimen tertentu.

"Kita kena faham mengapa Yang di-Pertuan Agong menekankan pentingnya negara ini berada dalam kestabilan," katanya yang menegaskan ketika ini dia masih seorang yang bebas daripada mana-mana parti politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan