Beraninya Penjawat Awam Sekarang Menentang Kerajaan?

Shahbudin Husin

Awal hari ini tersebar di media sosial berkenaan sebuah poster melibatkan Adun PN kawasan Ijok, Jefri Mejan yang memohon infaq atau sumbangan bagi penubuhan pusat khidmat masyarakat atas kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Antara lain, infaq atau sumbangan itu diperlukan bagi membeli set komputer, printer, perabot pejabat, peti ais, signboard, whiteboard, set sofa dan internet.

Bagaimanapun, akaun bank yang digunakan bagi tujuan itu menggunakan nama Bakar Mat Jidi, yang kemudian dikenalpasti seorang guru besar sekolah kebangsaan.

Ramai netizen mengecam tindakan pengumpulan derma itu kerana kata mereka, wakil rakyat sepatutnya menolong rakyat, bukannya memohon pertolongan daripada rakyat.

Lebih menjadi perhatian ialah kerana akuan bank yang digunakan bagi tujuan mendapatkan sumbangan itu melibatkan seorang penjawat awam iaitu seorang guru besar.

Beraninya seorang penjawat awam menunjukkan sokongan secara terbuka kepada blok pembangkang?

Kejadian ini dengan sendirinya mengesahkan dapatan sebuah kajian baru-baru ini yang mendapati majoriti penjawat awam di enam negeri yang mengadakan PRN tidak memberi sokongan kepada calon-calon kerajaan perpaduan.

Sehingga kini belum ada respon daripada Adun Ijok atau guru besar terbabit dalam isu ini.

Secara prinsipnya, penjawat awam atau kakitangan kerajaan mestilah memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

Meskipun undi adalah rahsia, tetapi menunjukkah wajah sokongan kepada wakil rakyat pembangkang secara terbuka, malah membenarkan akaun banknya digunakan bagi tujuan pengumpulan dana wakil rakyat berkenaan, barangkali suatu tindakan yang keterlaluan, bahkan mencabar kerajaan.

Maksudnya, terlalu berani penjawat awam berkenaan memperlihatkan pendirian politiknya.

Sehubungan itu, Setiuasaha Politik Menteri Pendidikan, ‘Atiqah Syairah Shaharuddin dengan segera menulis surat kepada Ketua Unit Intergriti Kementerian Pendidikan, Puan Siti Zakiah Che Man agar melakukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Katanya, beliau telah menerima aduan melalui media sosial dan beberapa saluran lain berkenaan isu tersebut yang melibatkan seorang guru besar yang menggunakan akaun bank peribadinya sebagai saluran bagi pengumpulan dana politik.

Menurutnya lagi, partisipasi atau penglibatan penjawat awam dalam politik kepartian telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa dan juga komuniti.

“Penglibatan pentadbir sekolah juga dilihat akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan dan pengurusan sekolah,” katanya dalam surat tersebut.

Seterusnya, tegas ‘Atiqah Syairah, “besar harapan saya agar pihak puan dapat memastikan tindakan dan siasatan dijalankan mengikut laras perundangan dan aturan profesionalisme penjawat awam.”

Menggesa siasatan dan seterusnya memastikan tindakan diambil dengan segera terhadap guru besar terbabit tentunya sesuatu yang wajar kerana haruslah difahami, tiada kerajaan dalam dunia ini yang hanya tersenyum saja bila ada kakitangan awamnya tidak menyokong kerajaan yang sedang berkuasa.

Sebagaimana disebut di atas tadi, kakitangan awam mesti bersama dengan kerajaan semasa, walaupun undi ketika pilihan raya adalah rahsia.

Untuk memastikan kerajaan perpaduan ini lebih berwibawa, isu seperti ini haruslah ditangani dengan segera dan tidak harus dibiarkan terus berleluasa.

Membiarkannya tanpa tindakan lebih memungkinankan kerajaan disabotaj dalam segala programnya dan seterusnya akan kalah bila nanti pilihan raya tiba.

Anwar Ibrahim mesti melihat perkara ini dengan serius dan wajib berbuat sesuatu di semua kementerian dan sektor penjawat awam.

Jika tidak ditangani, bersedialah ditimpa kekalahan dalam PRU16 nanti. – ShahbudinHusin 01/09/2023.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan