'Cina tak akan undi PAS' - Pemuda Umno Johor tak bimbang

Alyaa Alhadjri

Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros tidak bimbang dengan usaha PN meraih sokongan pengundi Cina susulan timbul persoalan berkenaan agenda reformasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika dihubungi, Azleen berkata dia yakin sokongan pengundi bukan Melayu terhadap PN dalam pilihan raya kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram kekal rendah dengan PAS menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

"Saya tak fikir orang Cina boleh mengundi PAS disebabkan naratif politik ekstrem PAS.

"Selain itu, bolehkah orang Cina percaya PAS untuk menguruskan ekonomi negara?" katanya kepada Malaysiakini.

PN mempertaruhkan Timbalan Ketua Bersatu Pulai Zulkifli Jaafar di kerusi Parlimen Pulai dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mazri Yahya di kerusi DUN Simpang Jeram - dua kerusi yang dipegang Allahyarham Salahuddin Ayub.

Di Pulai, Salahuddin mempertahankan kemenangannya pada PRU15 berdasarkan sokongan majoriti pengundi bukan Melayu, manakala majoriti undi Melayu pergi kepada pesaingnya ketika itu, Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed.

Dalam PRU itu, calon PN dari Gerakan, Loh Kah Yong berada di tempat ketiga.

Parlimen Pulai terbahagi kepada dua kerusi DUN - Kempas dan Perling - dengan pengundi berdaftar seramai 166,563 orang.

Kempas memiliki pengundi Melayu yang lebih ramai iaitu 55 peratus, manakala lebih 60 peratus pengundi di Perling adalah dalam kalangan bukan Melayu.

Usaha terbaru PN untuk meluaskan sokongannya dalam kalangan pengundi bukan Melayu selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dibebas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Azleen berkata perkembangan itu telah membuang "batu penghalang" dalam kempen Umno.

"Sekarang tiada lagi batu penghalang dan maka saya merasakan kempen kami dalam baki beberapa hari ini akan berjalan lancar," katanya.

Katanya lagi, Zahid telah menggunakan saluran betul di mahkamah untuk membersihkan namanya yang telah tercemar dengan pertuduhan rasuah.

"Jika ada yang ingin bermain persepsi, orang ramai cukup bijak untuk buat keputusan mereka sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, Azleen dalam kenyataannya sebelum ini berkata Pemuda Umno Johor mengalu-alukan keputusan mahkamah itu dan 11 asas yang diberikan pendakwaan menunjukkan pertuduhan terhadap Zahid "bermotifkan politik" untuk menjatuhkan Umno.

Keputusan DNAA itu diberikan walaupun hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum ini memutuskan pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Zahid, justeru memerintahkannya untuk membela diri.

Pendakwaan berkata permohonan DNAA itu dibuat atas beberapa sebab, termasuk bagi membolehkan SPRM membuat siasatan lanjut, melihat kemungkinan berlakunya pendakwaan terpilih dan untuk menungu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Terdahulu, calon PH di Pulai Suhaizan Kaiat berkata isu tersebut tidak akan menjejaskan peluangnya, walaupun selepas pemimpin PN Dr Afif Bahardin semalam menggesa pengundi Cina untuk menilai semula sokongan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan