Ilham Centre: Sengit tetapi PH masih dahului Pulai, Simpang Jeram

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 
Biarpun DUN Simpang Jeram disebut-sebut sebagai kerusi panas yang akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN), namun Pakatan Harapan (PH) dijangka mendahului pihak lawan dengan sedikit kelebihan.

Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof. Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, PH hanya berisiko kehilangan Simpang Jeram jika kadar keluar pengundi etnik Cina merosot di bawah kadar 50 peratus.

“Namun berdasarkan data-data semasa, pada hemat saya PH mempunyai peluang lebih besar di Pulai berbanding PN.

“Di Simpang Jeram lebih sengit, namun pada pandangan saya PH masih mendahului PN dengan sedikit kelebihan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Mohd Yusri berkata, jangkaan yang mengatakan bahawa gelombang PN tidak akan berjaya menerobos ke Johor adalah meleset sama sekali.

Katanya, banyak dapatan menarik berjaya dikumpul daripada kajian lapangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di mana dapatan paling menarik adalah berkaitan sentimen pengundi teras Umno itu sendiri.

Menurutnya, peratusan pengundi teras Umno yang memberi komitmen untuk memberi undi kepada PN hampir sama dengan peratusan yang bersetuju untuk mengundi PH.

Manakala sekitar 15 peratus lagi pengundi teras Umno belum membuat keputusan selepas seminggu kempen berjalan.

“Berdasarkan bahasa badan yang ditunjukkan, saya percaya pengundi teras Umno yang belum membuat keputusan tersebut sebahagian besar akan memberi undi kepada PN andai mereka keluar esok, atau mereka akan memilih untuk tidak keluar.

“PRK yang asalnya dilihat agak mudah bagi PH, namun akhirnya jadi sengit dan serba mungkin,” ujarnya

Majoriti besar 33,174 diperoleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga penyandang Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, secara relatifnya sangat sukar digugat PN.

Faktor komposisi pengundi adalah agak seimbang di Pulai dengan pengundi Melayu 44 peratus, pengundi Cina 40 peratus, pengundi India mewakili 12.3 peratus manakala lain-lain adalah 3.05 peratus.

Di Simpang Jeram, komposisi pengundi Melayu pula agak besar sebanyak 51.87 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar, diikuti dengan Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan