Ketika Howard Lee memetik Quran

Hazman Baharom

Lucu apabila terdapat pelbagai reaksi khususnya daripada sebahagian orang Islam yang mengecam Howard Lee ketika beliau memetik sepotong ayat daripada Quran yang bercerita tentang ketaatan kepada pemimpin. 

Di platform media sosial khususnya, ramai yang menghentam beliau atas dasar beliau “kafir,” “tafsiran salah” dan “kurang ajar,”. 

Fenomena ini menarik untuk diperhatikan, dan pada saya melucukan kerana menggambarkan betapa tidak konsistennya masyarakat Islam kita pada hari ini. 

Sebelum saya menghuraikan lanjut, penting untuk saya tekankan bahawa fokus penulisan ini bukanlah pada intipati tafsiran ayat Quran yang disampaikan oleh Howard. 

Kemungkinan, sebagai seorang politikus (sebagaimana politikus lain dari Umno, PAS, PKR), apabila ayat suci daripada mana-mana agama dibaca, adanya kepentingan politik di sebalik niat mereka tersebut. 

Begitu juga Howard, barangkali ada kepentingan politik beliau dengan memetik ayat Quran tersebut. 

Pun begitu, terlepas daripada persoalan tentang “kebenaran” tafsiran beliau itu (yang menuntut wacana khusus berpandukan bidang ilmu tertentu), hal yang lebih penting untuk diperhatikan ialah bagaimana ramai umat Islam Malaysia di media sosial menyikapi hal tersebut. 

Ada tiga hal yang saya tekankan melalui tulisan ini, iaitu (1) kepercayaan tentang keuniversalan Quran, yang akan membawa kepada (2) teks suci dan tafsiran teks suci, dan akhirnya (3) menjadi konsisten dengan diri sendiri. 

Kita akan terokainya satu-persatu. 

Pertama, merujuk perkara (1), semua orang Islam percaya dengan konsep keuniversalan Quran, yang boleh ditemui di sekian banyak ayat Quran dan hadis. 

Barangkali ayat yang paling tersohor sehingga pernah menjadi slogan politik ialah “rahmat bagi sekalian alam” (al-Anbiya’: 107).

Malah orang Islam sendiri mengakui bahawa Quran adalah panduan untuk semua manusia, bukan sekadar orang Islam sahaja. 

Tentunya, dakwaan sebegini mungkin datangnya daripada satu bentuk kebanggaan terhadap agama dan identiti yang dianuti, sehingga merasakan bahawa hanya agama Islamlah yang satu-satunya mampu menjadi panduan untuk semua. 

Tidak salah untuk berbangga sedemikian rupa. 

Kalam Tuhan

Setelah itu, semua orang Islam juga percaya bahawa Quran ialah kalam Tuhan sebagaimana kehendak Tuhan sendiri, bukan sabda Nabi Muhammad SAW. 

Konsep “kalam,” “wahyu,” dan “kenabian” boleh berbeza-beza mengikut mazhab akidah masing-masing, namun secara umumnya, tiada seorang pun orang Islam yang ingkar terhadap hakikat bahawa Quran ialah ayat suci yang turun dari Tuhan. 

Pun begitu, kalam Tuhan sebagai zatnya sendiri dengan pemahaman terhadap kalam Tuhan adalah dua perkara berbeza, dan ia wajib dibezakan. 

Saat kita sebagai manusia membaca mana-mana ayat daripada Quran, idea, imej, gambaran, atau pemahaman yang terbit dalam minda masing-masing itu bukanlah sesuatu yang kudus lagi, kerana ia sudah jadi tafsiran setiap manusia berakal yang memahaminya. 

Tambahan pula, peringkat pemahaman pula akan berbeza-beza mengikut tahap ilmu, identiti, perasaan, orientasi pemikiran, ideologi politik, malah geografi si pembaca sekalipun. 

Bagi seorang ulama tafsir semisal Ibn Kathir, al-Tabari, sampailah al-Tahir Ibn ‘Ashur, mereka akan membawa segala dimensi kepelbagaian ilmu yang mereka miliki dalam disiplin ilmu-ilmu Islam, ilmu sejarah, ilmu geografi, ilmu sains, bahkan ilmu tatabahasa dan sastera, untuk menghuraikan setiap ayat Quran yang dibaca, sampailah terhasilnya karya-karya tafsir mereka yang berjilid-jilid tebalnya itu. 

Noktah ini membawa kepada hal (2), iaitu tentang tafsiran teks suci.

Tetapi, adakah perkara ini bermaksud orang yang bukan tergolong dalam kalangan “ulama tafsir” tidak mampu memahami Quran? 

Tidak juga, kerana jika begitu, kita sudah tidak konsisten dengan dakwaan keuniversalan Quran itu sendiri. 

Maka, orang-orang seperti kita yang bukan ulama tafsir juga mampu memahami teks tersebut, dengan segala keterbatasan diri kita sendiri. 

Sebab itulah, ketika ‘Umar al-Khattab mendengar adiknya membaca ayat 1-3 surah Taha ketika masih belum Islam, ayat-ayat tersebut berjaya mengetuk hatinya untuk menerima Islam (walaupun beliau masih belum mendalami Islam secara langsung daripada Rasulullah). 

Pemahaman ‘Umar ketika itu pastilah masih amat terbatas kerana kekurangan ilmunya kerana beliau masih jahiliah. 

Satu hal penting yang perlu kita hargai di sini ialah, setiap pemahaman terhadap Quran atau hadis sebagai teks suci bukanlah zat teks suci itu sendiri. 

Hakikat ini perlu sentiasa kita ingat atas dua sebab, iaitu menjaga kesucian Quran dan hadis sendiri, dan memelihara sikap rendah diri kita sebagai umat Islam, bukan sebagai nabi. 

Usaha akal untuk faham kehendak Tuhan

Tatkala kita membaca sepotong ayat Quran, lalu kita fahami apakah maksud ayat tersebut, penting untuk kita sentiasa ingat bahawa pemahaman kita itu adalah di peringkat itu sahaja—yakni tafsiran kita sendiri. 

Tafsiran kita, ataupun mana-mana ulama sekalipun, adalah tidak suci, kerana ia merupakan usaha akal fikiran manusia untuk memahami kehendak Tuhan. 

Hal ini tentulah tidak menafikan bahawa terdapatnya tingkatan dalam autoriti ilmu, bahawasanya autoriti bagi mereka yang mendalami tafsir adalah lebih tinggi daripada mereka yang hanya membaca Quran tanpa ilmu-ilmu alat yang mustahak seperti nahu, saraf, balaghah, ma’ani, badi’, ‘arud, qira’at, asbab al-nuzul, dan berpuluh-puluh bidang lagi. 

Autoriti di sini ialah autoriti ilmu, iaitu dengan sebab mereka memiliki pelbagai ilmu alat tersebut, pemahaman mereka mungkin lebih hampir kepada kebenaran, tetapi status pemahaman mereka itu tidaklah lebih kudus daripada orang yang bukan ulama ketika membaca dan memahami Quran. 

Atas sebab itulah, kita pelajari betapa golongan Khawarij telah bertindak melampau ketika kontroversi politik setelah kewafatan ‘Uthman ibn ‘Affan, malah ketika dan setelah pemerintahan ‘Ali ibn Abi Talib sekalipun. 

Golongan tersebut memahami beberapa ayat Quran tentang hukum-hakam Islam secara melampau, khususnya ayat bahawa “hak menentukan hukum adalah pada Allah semata-mata” (al-An‘am: 57). 

Titik kemelampauan mereka adalah apabila mereka menganggap kefahaman mereka itu ialah zat Quran yang kudus, namun hakikatnya, itu hanyalah kefahaman mereka sendiri. 

Mereka mengangkat malah memaksakan pemahaman mereka yang tidak kudus terhadap ayat Quran yang kudus untuk menjadi sesuatu yang kudus, walhal hakikatnya tidak begitu. 

Mereka telah zalim kerana tidak meletakkan pemahaman mereka terhadap Quran di tempatnya yang berhak, iaitu hanya sekadar salah satu tafsiran di kalangan sekian banyak tafsiran berbeza. 

Perkara inilah yang cuba ditegaskan ‘Ali ketika memerangi mereka, namun akibat keras kepala mereka sendiri, berlakulah pertelingkahan umat yang tragis ketika itu. 

Bagi umat Islam yang insaf, kita semua pasti mengetahui bahawa dalam sejarah panjang umat Islam, disiplin tafsir telah berkembang menerusi pelbagai pengalaman umat ini. 

Hasilnya, beribu-ribu kitab tafsir yang membawa pelbagai tafsiran berbeza terhadap Quran telah ditulis, dan semuanya itu merupakan percubaan yang tidak kudus untuk memahami ayat Quran yang kudus. 

Rendah diri

Bagi kebanyakan ulama tafsir (malah disiplin-disiplin lain seperti fiqh, hadis, akidah, dan lain-lain sekalipun), mereka berdepan hakikat ini dengan rendah diri sebagai umat, seperti mana tergambar lewat karya ulama silam seperti al-Ghazali lewat al-Mustasfa, sampailah kepada ulama moden seperti Taha Jabir al-Alwani melalui Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam. 

Malah, di akhir setiap penulisan mereka, kita pasti temui ungkapan wallahu a‘lam bi al-sawab yang ditulis dengan penuh keinsafan, bahawasanya kebenaran mutlak hanyalah pada Tuhan semata-mata, dan mereka hanya berusaha menghuraikan pemahaman mereka terhadap kebenaran tersebut. 

Mengapa saya bercerita tentang semua ini? Dengan memahami hal (1) dan (2), kita mampu menjadi lebih rasional ketika Howard Lee memetik sebahagian ayat Quran dalam videonya. 

Jika kita konsisten dengan kepercayaan (1) bahawa Quran itu diturunkan kepada semua manusia dan bukan umat Islam semata-mata, maka adalah salah untuk kita mengecam Howard yang membaca Quran atas sebab beliau itu dianggap “kafir” (terdapat pelbagai perbahasan ulama tentang maksud perkataan ini, tetapi tidak perlulah disentuh di sini). 

Seterusnya, dengan kita memahami perkara (2) pula, kita akan menanggapi pemahaman Howard terhadap Quran itu hanya sebagai pemahamannya sendiri, dan bukanlah bermaksud beliau mahu bersikap “kurang ajar,” atau lebih dahsyat, “menghina Islam” atau “menghina Quran.” 

Jika kita meyakini bahawa Howard membawa tafsiran yang salah, kita semua terbuka untuk mengkritik beliau kembali dengan kritikan ilmiah, bukannya dengan label-melabel yang tidak bertanggungjawab dan melampau. 

Akhir sekali, kesemua ini membawa kita pula kepada perkara (3), iaitu sebagai umat Islam, kita perlu menjadi konsisten dengan diri sendiri. 

Jika kita menganggap Howard telah melakukan sesuatu yang salah kerana membaca dan memahami ayat Quran mengikut tafsirannya sendiri sebagai seorang “kafir,” maka kita juga perlu mengecam pemahaman Bible yang tidak bertanggungjawab secara ilmiah, yang banyak disampaikan oleh orang-orang seperti Zakir Naik.

Malah, Zakir adalah lebih dahsyat berbanding Howard, kerana Zakir mengelilingi dunia dengan menghentam kitab Bible bersama pemahaman yang salah tanpa berpandukan tradisi hermeneutika Bible yang amat kaya itu, untuk memenangkan dirinya sendiri—yakni melakukan falasi strawman dalam ilmu logik. 

Justeru, kalau kita mahu konsisten, kita juga perlu mengecam Zakir Naik sepertimana kita mengecam Howard Lee. 

Atau, adakah apabila perkara salah tersebut dilakukan oleh “geng kita,” maka ia automatik menjadi “benar”?

Nyatakan tak setuju secara ilmiah

Kesimpulannya, kegemilangan Islam sebagai sebuah tamadun telah lama dibina melalui kegemilangannya dalam lapangan ilmu—dan ilmu di sini bermaksud kepelbagaian ilmu. 

Benar atau salah sesuatu ilmu itu bukanlah terletak pada apakah bangsa atau agama seseorang manusia yang menghuraikan ilmu tersebut, tetapi terletak pada piawaian yang ditetapkan melalui disiplin ilmu tersebut masing-masing. 

Ketika kita mendengar Howard Lee memetik ayat Quran dengan pemahamannya, amat lekehlah kita jika hanya mengecam beliau dengan pelbagai label. 

Lebih parah, sebahagian daripada kita mahu pula menggunakan kuasa negara untuk menutup mulut beliau—ini tidak lain hanyalah manifestasi ketakutan terhadap pendapat atau idea yang berbeza. 

Jika kita umat Islam yang bermaruah, nyatakanlah ketidaksetujuan kita secara ilmiah. 

HAZMAN BAHAROM ialah calon doktor falsafah di Universiti Waseda, Jepun. Dia juga ialah salah seorang jurulatih pasukan Malaysia ke Olimpiad Falsafah Antarabangsa (IPO), dan menulis dua buku, seerta menterjemah enam buku daripada bahasa Inggeris, Cina, dan Jepun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan