Malaysiakini
Presiden PAS Abdul Hadi Awang ditegur kerana mengatakan di dalam Islam tidak ada hukum pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada pertuduhan.
Bekas pemimpin PAS yang kini menganggotai Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali berkata dakwaan Hadi bertentangan dengan prinsip keadilan Islam.
"YB Marang makin keliru tentang hukum-hakam Islam.
"DNAA itu adalah sebahagian daripada kerangka umum kaedah Islam al-aslu bara'atu zimmah," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Al-aslu bara'atu zimmah menyamai konsep seseorang itu tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah dan secara literal diterjemahkan kepada seseorang pada mulanya bebas daripada tanggungjawab.
Khairuddin berkata ini bermakna seseorang pendakwa dibenarkan melepaskan tertuduh jika ada keperluan untuk siasatan lanjut.
Abdul Hadi telah membuat kenyataan mengenai tiada hukum DNAA dalam Islam di Dewan Rakyat hari ini.
Dia memetik kisah bagaimana pemerintah Uthmaniyyah Sultan Muhammad Al-Fateh - yang juga dikenali sebagai Mehmed Penakluk - telah didapati bersalah kerana tersilap memotong tangan seorang arkitek bukan Islam.
Bagaimanapun, arkitek bukan Islam itu memilih pampasan seumur hidup dan bukannya meminta supaya tangan pemerintah dipotong juga sebagai hukuman balasan.
Menurut Hadi, kisah ini menunjukkan kuasa untuk mengampun, menuntut tindakan sama rata atau menerima pampasan adalah mengikut budi bicara pengadu.
“Dalam Islam tak ada dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
“Mesti dikenakan hukuman,” kata Hadi pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Hadi berkemungkinan besar mengulas kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan di mahkamah.
Ini berikutan pendakwa raya menarik balik pertuduhan rasuah terhadapnya dalam kes Yayasan Akalbudi.
Pendakwa raya telah memetik keperluan untuk siasatan lanjut sebagai salah satu sebab pertuduhan itu ditarik balik.
Khairuddin berkata kenyataan Hadi nampaknya menggalakkan rakyat berfikir bahawa sesiapa yang didakwa langsung telah dihukum bersalah.
"Ini kaedah yang sangat salah, bercanggah dengan Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan