Mohsin Abdullah
Kata Anwar Ibrahim pengharaman Malaysia terhadap unsur berkaitan LGBTQ tidak membuka ruang untuk mengganggu komuniti berkenaan. Bagi Tuan Ibrahim Tuan Man pendirian perdana menteri menjurus kepada reda terhadap LGBTQ. Betul ke kata timbalan presiden PAS itu?
Anwar bercakap soal LGBTQ pada wawancara dengan Christiane Amanpour dari CNN tempoh hari. Amanpour mahu tahu pendirian Malaysia berikutan pengharaman jam tangan Swatch yang ada simbol atau elemen LGBTQ.
Respons Anwar begini. Kerajaan harus menghormati konsensus rakyat Malaysia yang katanya tidak mahu unsur LGBTQ dipaparkan scara terbuka “tetapi adakah kita kemudian pergi mengganggu mereka? Itu subjek yang berbeza. Saya tidak merestui sebarang cubaan mengganggu”. Berdasarkan itu saya tanya lagi – setuju ke dengan Tuan Ibrahim kerajaan malah Anwar reda dengan LGBTQ?
Pada wawancara dengan CNN itu Anwar bercakap dalam bahasa Inggeris (sekadar stating the obvious). Berhubung isu ini berikutan konsensus yang disebut tadi Anwar berkata “But do we then go and harass them? That’s a different subject. I don’t approve of any attempt to harass”.
Lantas kata kuncinya ialah “harass”. Saya tidak tahu definisi atau apa yang Anwar maksudkan dengan “harass”. Saya tidak ada hasrat itu menyelami minda beliau mahupun cuba menjelaskan apa yang perdana menteri maksudkan. Itu tanggungjawab pegawai Anwar yang diberi gaji untuk melakukannya – sama ada memberi penjelasan atau mempertahankan.
Lalu saya memberi pandangan sendiri. Saya bukan pakar bahasa baik bahasa Melayu atau Inggeris. Namun setahu saya apabila seseorang “diharass” perbuatan itu dipanggil “harassment”. Yang membawa erti “aggressive pressure or intimidation”. Tekanan keras (agresif) atau ugutan (intimidasi). Definisi yang memberi kita merasai kesan keras tindakan yang diambil atau dikenakan. Macam mendera. Terjemahan “harassment” ke bahasa Melayu ialah “gangguan.” Tepat tetapi mungkin “kerasnya” tidak dirasai seperti “harassment”. Mungkin sebab itu ada orang menterjemah “harassment” sebagai “gangguan melampau”. Untuk memberi gambaran sebenar barangkali.
Saya bersetuju dengan beberapa pembaca Malaysiakini yang memberi pendapat dalam ruangan komen yang mengiringi laporan “tuduhan” Tuan Ibrahim. Sebelum itu imbas kembali apa yang Tuan Ibrahim kata seperti dilapor Malaysiakini. Antaranya beliau berkata “LGBT (Anwar kata) jangan ganggu kumpulan ini, mana boleh tuan-tuan, Nabi kata (kena) cegah, tak boleh… mana boleh kita kata jangan kita ganggu kehidupan mereka”.
Beliau turut memetik hadis dan berkata Nabi Muhammad meminta umat Islam mencegah kemungkaran atau maksiat dengan apa cara terutama apabila memiliki kuasa.
Semua itu beliau ucapkan semasa berceramah di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang pada malam 24 Sept sempena PRK DUN Pelangai 7 Okt ini. Dalam lain perkataan waktu beliau berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN).
Apa pun berbalik kepada komen pembaca laporan itu yang disebut tadi. Tiada siapa yang mempertikai hadis Nabi. Semua akur. Bagaimanapun beberapa pembaca menegaskan “tidak ganggu LGBT bukan bererti reda”. Ada yang berkata negara ini punya undang-undang dan sesiapa yang mengasari atau menganiayai golongan itu akan berdepan tindakan. Seperti dikata tadi saya setuju akan pandangan demikian.
Perlu ditegaskan ketika Tuan Ibrahim bercakap mengenai “mana boleh kata jangan ganggu kehidupan mereka (LGBTQ)”, beliau tidak menghuraikan atau mencadang apa yang mesti dilakukan. Jika jangan ganggu tidak boleh apa yang boleh? Tentu Tuan Ibrahim tidak setuju gangguan melampau dikenakan ke atas golongan LGBTQ. Tetapi apa? Berdakwah? Ya ini satu cara tetapi bagaimana pula LGBTQ yang bukan Islam? Sekadar satu contoh.
“Harassment” terhadap golongan itu tidak dinafikan ada berlaku di negara ini, dijalankan pelbagai pihak dengan menggunakan pelbagai cara. Ada kalangan komuniti LGBTQ melarikan diri atau pindah ke negara lain akibat tekanan yang diterima.
Seperkara yang kira perlu dinyatakan ialah ada pembaca yang memberi pandangan di ruangan komen Malaysiakini yang pro LGBTQ mempertikaikan “konsensus rakyat Malaysia” yang disebut Anwar. Mereka bertanya adakah benar ada konsensus? Jika ya siapa? Bagi saya mereka tidak menghadap realiti bahawa majoriti orang Melayu menentang LGBTQ. Itulah konsensusnya.
Maka berdasarkan itu juga LGBTQ sering diheret dan diseret ke dalam kancah politik dan dijadikan isu untuk meraih sokongan khususnya orang Melayu. Maka berkatalah Tuan Ibrahim apa yang dikata di ceramah di Pahang.
The Malaysian Insight memetik penganalisis pernah meramalkan PN (bolehkah dibaca sebagai PAS?) akan terus menggunakan isu perkauman, agama dan raja sepanjang tempoh berkempen bagi PRK Pelangai.
Ini kita semua sudah tahu. Ramalan sudah jadi nyata…Betul tak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan