Nur Shafina Maisarah akhirnya dijumpai di Semenyih

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI

KAJANG – Pelajar tingkatan tiga yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di daerah ini pada 13 September lalu, akhirnya ditemui semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu ditemui selamat di kawasan Semenyih.

“Berdasarkan siasatan, punca remaja terbabit menghilangkan diri dipercayai kerana perselisihan faham dengan keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis mengesan pelajar perempuan, Nur Shafina Maisarah yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada Rabu lalu.

Polis menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu daripada ibunya yang berusia 34 tahun pada pukul 10.40 pagi, Khamis.

Suri rumah itu mendapati anaknya yang menaiki bas ke sekolah masih belum pulang dan gagal dihubungi.

Wanita itu kemudian menghubungi guru kelas, sebelum dimaklumkan pelajar itu tidak hadir sekolah.

Siasatan polis mendapati kali terakhir dia dilihat oleh ibunya pada pukul 6.15 pagi, Rabu lalu ketika keluar rumah menaiki bas untuk ke sekolah dengan berpakaian sukan.

Saksi lain yang juga rakan sekolah ada melihat Shafina Maisarah turun dari bas sekolah, namun tidak memasuki kawasan sekolah. – KOSMO! ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan