Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
LELAKI warga Filipina itu didakwa merogol anak perempuannya berusia 14 tahun di rumah mereka di Semporna, Februari lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: Pekebun dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merogol anak perempuannya yang berumur 14 tahun, 11 Februari lalu.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan hukuman itu selepas tertuduh yang juga warga Filipina berusia 58 tahun mengaku salah atas pertuduhan.
Bapa sembilan anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Semporna pada 11 malam, 11 Februari 2023.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan minimum 10 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh, mengambil kira kejadian itu sangat tidak bermoral dan memberi kesan trauma jangka panjang kepada mangsa.
Pada 27 Februari lalu, tertuduh yang didakwa memasuki negara ini secara haram, dihukum penjara enam bulan mengikut Seksyen 6 (1)(1) Akta Imigresen 1959/63.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan